suria

Tiga Lelaki Maut Kereta Terjunam Ke Gaung

BATU PAHAT: Tiga lelaki maut apabila kereta yang mereka naiki terbabas dan menjunam ke dalam gaung sedalam 15 meter di Kilometer 124.6 Lebuhraya Utara Selatan dari arah Pagoh-Yong Peng di sini Khamis.

Mereka yang terbunuh dikenali sebagai Sulaiman Besah @ Sitam, 46, dari Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor, Mohd Ranoorsyam Abdul Razak, 27, dari Tumpat, Kelantan, dan Md Fuat Ahmad, 53, dari Petaling Jaya, Selangor.

Kesemua mereka cedera parah dan mati di tempat kejadian, kata Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner (ACP) Ibrahim Md Arif.

Beliau berkata dalam kejadian pada pukul 10.30 pagi itu, ketiga-tiga lelaki yang menaiki Toyota Vios itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor Baharu.

"Kereta yang dipandu oleh Sulaiman dipercayai hilang kawalan lalu terbabas melanggar penghadang sebelah kiri jalan sebelum menjunam ke dalam gaung sedalam 15 meter di tepi lebuh raya itu," katanya.

Mayat mereka dihantar ke Hospital Daerah Batu Pahat untuk bedah siasat dan dituntut oleh keluarga masing-masing petang ini. - BERNAMA

Artikel Lain