suria

Rasuah: Pemandu Lori Dipenjara Sehari Dan Denda RM25,000

KUANTAN: Mahkamah Seksyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM25,000 terhadap seorang pemandu lori yang didapati bersalah kerana cuba merasuah seorang penolong pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Hakim Nurdadidah Ahmad ketika menjatuhkan hukuman itu berkata K.Murugan, 38, didapati bersalah kerana cuba memberi suapan berjumlah RM5,000 kepada penolong pegawai KPDNKK pada jam 4.30 pagi dalam satu operasi membanteras penjualan diesel subsidi di sebuah stor di Jalan Feri Lama, Endau, Rompin pada 10 November lepas.

Tertuduh tidak diwakili peguam, manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya Shafinaz Shahbudin.

Murugan didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan atau mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Lain