suria

Presiden Korea Selatan Tiba Untuk Lawatan Negara Pertama Ke M'sia

SEPANG: Presiden Korea Selatan, Lee Myung-bak tiba di sini hari ini untuk melakukan lawatan negara pertamanya ke Malaysia.

Pesawat khas yang membawa beliau serta 190 orang terdiri daripada menteri, pegawai kanan, ahli perniagaan dan petugas media, tiba pada jam 6.30 petang di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini.

Ketibaan beliau disambut oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha selaku menteri pengiring serta Timbalan Menteri Luar A Kohilan Pillay.

Lawatan dua hari Lee ini sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara.

Lee akan disambut secara rasmi oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, dalam satu upacara di Dataran Parlimen esok.

Beliau juga dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara selain menghadiri Majlis Santapan Diraja yang dihoskan oleh Seri Paduka.

Lee yang diiringi Menteri Ekonominya akan turut mengetuai mesyuarat delegasi dua hala dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pagi esok.

Kedua-dua pihak dijangka memberi tumpuan kepada isu dua hala termasuk mengenal pasti bidang kerjasama baru di samping menyentuh isu serantau dan antarabangsa.

Lee juga dijangka menghadiri majlis perasmian Mesyuarat Meja Bulat dengan ahli perniagaan Korea dan Malaysia.

Malaysia dan Korea Selatan menikmati hubungan akrab sejak wujudnya hubungan diplomatik pada tahun 1960.

Kedua-dua negara mempunyai kerjasama yang amat baik terutama dalam perdagangan dan pelaburan, pengajian tinggi, sains dan teknologi serta pelancongan malah pada tahun lalu Korea Selatan adalah rakan perdagangan keenam terpenting bagi Malaysia.

Lee dan rombongannya akan berlepas pulang pada malam esok. - BERNAMA

Artikel Lain