suria

Pengganti Khir Toyo Belum Ditentukan Lagi

SHAH ALAM: Kepimpinan Barisan Nasional (BN) masih belum menentukan siapakah yang bakal mengantikan Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo sebagai ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri Selangor, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Khamis.

Menurut Muhyiddin, sementara keputusan itu dibuat, urusan parti akan berjalan sepertimana biasa dan tidak ada sebab untuk terganggu.

"Untuk BN, kerja akan berjalan sepertimana biasa," katanya kepada para pemberita selepas merasmikan Persidangan Penghulu dan Penggawa Semenanjung Malaysia, di sini, Khamis.

Muhyiddin mengingatkan seluruh anggota BN dan jentera parti bahawa ketiadaan Khir tidak bermakna kerja-kerja parti di semua peringkat perlu terhenti.

"Sudah tentulah seseorang akan kita lantik untuk mengantikan beliau," ujarnya.

Khir yang kini sedang berhadapan dengan dakwaan membeli dua bidang tanah di Seksyen 7 di sini pada harga di bawah nilai pasaran iaitu RM3.5 juta (2007) sedangkan tanah itu dibeli pada asalnya dengan harga RM6.5 juta oleh Ditamas Sdn Bhd (2004).

Bekas Menteri Besar Selangor itu didakwa dibawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, Isnin lalu yang boleh membawa kepada hukuman maksimum dua tahun penjara dan denda atau kedua-duanya sekali.

Ahli Dewan Undangan Sungai Panjang itu pada Rabu telah menyerahkan surat perletakkan jawatannya sebagai ketua pembangkang dewan undangan.

Artikel Lain