suria

Najib Umum Bantuan Ihsan Padi Akibat Banjir Dinaikkan RM876

ALOR SETAR: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan bahawa kerajaan akan menaikkan bantuan ihsan penanaman semula padi kepada RM876 sehektar daripada RM573 mulai bulan ini.

Perdana Menteri berkata jumlah baru itu diberikan kepada petani yang sawah mereka dilanda bencana banjir November lepas.

Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM60 juta iaitu RM50 juta untuk kos penanaman semula termasuk membajak, benih padi dan racun manakala RM10 juta lagi bagi memulihkan infrastruktur yang rosak akibat banjir, katanya semasa berucap pada majlis penyerahan tilam 1Malaysia kepada mangsa-mangsa banjir di Kedah dan Perlis anjuran Kelab Putra Umno di Stadium Sultan Abdul Halim di sini, Khamis.

Pada majlis itu, Najib menyerahkan replika cek bantuan pertanian dengan nilai RM46.5 juta kepada Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) Datuk Seri Mahdzir Khalid dan RM13.5 juta lagi kepada Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Mohamad Isa Sabu.

Perdana Menteri turut menyerahkan tilam kepada wakil-wakil mangsa banjir pada majlis itu yang dihadiri 5,000 orang termasuk isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Wira Chor Chee Heung, Timbalan Menteri Pertanian Datuk Wira Mohd Johari Baharom dan Pengerusi Kelab Putra Umno Datuk Abdul Azeez Rahim turut hadir.

Banjir yang melanda Kedah dan Perlis awal November lepas menyebabkan lebih 32,000 orang menjadi mangsa selain menjejaskan seluas 49,529 hektar sawah yang baru ditanam atau disemai membabitkan lebih 30,000 petani.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Mohd Johari berkata kerajaan menaikkan pemberian wang ihsan kepada RM876 setelah mengambil kira rayuan pesawah berikutan kenaikan harga padi, input pertanian dan kos mengusahakan sawah.

"Wang ini akan diagihkan secara tunai mulai minggu depan kerana kita tidak mahu menjejaskan jadual musim penanaman baru. Sekiranya mereka tidak segera tanam kita boleh rugi sehingga RM250 juta," katanya.

Mohd Johari berkata sawah dalam kawasan Mada di Kedah yang terjejas berjumlah 26,072 hektar, di Perlis 8,416 hektar manakala di luar Mada di kedua-dua negeri seluas 15,041 hektar.

Abdul Azeez pula berkata Kelab Putra Umno akan mengagihkan 10,000 lagi tilam dan dapur kepada mangsa-mangsa banjir di Kedah dan Perlis setelah menyediakan jumlah yang sama pada peringkat pertama.

"Kami menambah bantuan ini setelah diminta oleh Perdana Menteri supaya lebih ramai mangsa banjir dapat merasai nikmat bantuan yang diberi," tambahnya.

Tilam dan dapur itu akan diagihkan melalui ketua-ketua Umno bahagian. - BERNAMA

Artikel Lain