suria

Laporan Hak Asasi Manusia Suaram Bukan Satu Pertimbangan Yang Baik, Kata Dr M

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menolak laporan Suaram yang mendakwa bahawa situasi buruk hak asasi manusia di Malaysia merupakan satu petanda bahawa era beliau sudah kembali.

Bekas perdana menteri itu juga berkata laporan tersebut bukan satu pertimbangan yang baik serta menyifatkan badan bukan kerajaan (NGO) tersebut sebagai orang suruhan negara asing atau sesetengah ahli politik.

"Jika anda benar-benar bimbang mengenai hak asasi manusia, anda bukan hanya perlu khuatir tentang hak asasi di negara ini sahaja. Di Gaza, orang ramai sedang dibunuh. Ada mereka kata apa-apa.

"Ada mereka lakukan apa sahaja untuk membantu?," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian hadiah Program Inovasi Ideapreneur MRSM 2010, dekat sini Khamis.

Laporan Hak Sivil dan Politik 2010 yang dikeluarkan Suaram hari ini mendakwa pencabulan hak asasi manusia tahun ini, termasuk penahanan semasa perhimpunan awam serta sekatan terhadap media, adalah petanda bagi sebuah "masyarakat tertutup". Dr Mahathir juga berkata laporan itu hanyalah politik semata-mata.

"Mereka berfikiran seperti orang politik di Malaysia, jadi mereka perlu membuat tuduhan dan menuduh orang yang mereka tentang. Itu bukan satu pertimbangan yang baik.

"Saya juga boleh kata mereka bersalah kerana melanggar hak asasi manusia kerana saya mempunyai hak untuk bersuara...mereka hanyalah orang suruhan untuk sesetengah negara lain atau ahli politik. Itu hak saya untuk bersuara," katanya.

Sebelum itu, dalam ucapannya pada majlis berkenaan, Dr Mahathir menyeru generasi muda di negara ini disemai dan dipupuk dengan sifat ingin tahu serta budaya inovasi kerana ia mampu membantu Malaysia supaya lebih maju, selain boleh menjana pendapatan. MRSM Pengkalan Hulu Perak menjuarai pertandingan tersebut menerusi Topi Keselamatan untuk Orang Buta ciptaan mereka, manakala MRSM Serting dan MRSM Kubang Pasu masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof. - BERNAMA

Artikel Lain