suria

KTM Terima 14 Koc Sumbangan Jepun

PELABUHAN KLANG: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) hari ini menerima 14 koc kereta api sumbangan JR Kyushu dan JR West, sebuah syarikat dari Jepun.

Pengurus Kanan Unit Komunikasi Korporat KTMB, Mohd Fazil Ismail berkata koc terpakai itu akan digunakan untuk perjalanan ke pantai timur dan selatan tanah air bermula Jun depan.

"Walaupun usia koc ini hampir 40 tahun namun jurutera KTMB yang dihantar ke Jepun Disember tahun lepas mengesahkan ia masih berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan untuk perkhidmatan di negara kita.

"14 koc yang diterima ini merangkumi bahagian tempat duduk, katil dan kabin kereta api iaitu yang paling lama digunakan sejak 1972 dan terbaru pada tahun 1980," katanya kepada pemberita ketika meninjau ketibaan koc kereta api itu, di sini, Khamis.

Mohd Fazil berkata, koc berkenaan dijangka mampu beroperasi bagi jangka masa antara 10 hingga 15 tahun lagi.

Beliau berkata, penambahan koc tersebut dijangka dapat memberi ruang tambahan kepada 600 penumpang setiap hari dengan kutipan sehari dianggar mencapai RM23,000.

Katanya, kos penghantaran koc itu ditanggung oleh KTMB iaitu sebanyak RM3.8 juta.

"Kesemua koc ini akan melalui proses pengubahsuaian bagi membolehkan ia digunakan di landasan tolok satu meter di Malaysia berbanding di Jepun yang menggunakan 'narrow gauge'," katanya.

Beliau menambah, syarikat pengendali tersebut menawarkan koc berkenaan kepada KTMB hasil kerjasama kedua-dua syarikat yang telah sekian lama terjalin menerusi pelbagai program termasuk pertukaran pekerja yang diadakan setiap tahun.

Selain Malaysia, syarikat pengendali itu turut memberikan koc kereta api kepada negara lain seperti Thailand, Myanmar dan Filipina.

Artikel Lain