suria

Kes AminulRasyid: Saksi Terkejut Tembakan Dilepaskan

SHAH ALAM: Seorang anggota polis yang melepaskan 10 das tembakan ke arah kereta yang dipandu oleh AminulRasyid Amzah mengakui bahawa dia sendiri terkejut apabila terdapat tembakan dilepaskan dari arah belakang semasa kereta yang dipandu remaja terbabit berada dalam keadaan terhuyung-hayang.

Konstabel Mohd Izham Mahayadin berkata, kejadian berlaku semasa dia dan pemandu kereta peronda, Koperal Azhar Hashim sedang mengekori kereta Proton Iswaran BET 5023 itu bagi menunggu kereta tersebut terbabas akibat tayar belakang kanan yang telah kempis kerana ditembak.

Dia berkata, bunyi tembakan datang dari arah belakang selepas dia telah berhenti menembak semasa kereta AminulRasyid membelok masuk ke Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, di sini.

“Saya terkejut kerana bunyinya kuat. Waktu itu tingkap kereta saya terbuka. Bunyi tembakan datang dari arah belakang. Bila kita menembak, kita berada dalam keadaan sedia dan tidak terkejut.

“Ini (tembakan) datang dari belakang, memang terkejut. Saya tidak sangka tembakan akan dilepaskan sebab kereta itu susah nak larikan diri lagi kerana tayar sudah pecah,” katanya di Mahkamah Sesyen di sini Khamis.

Dia yang bertugas di Cawangan Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menambah, tembakan itu dilepaskan secara berturut-turut dan laju, bagaimanapun tidak mengetahui jumlah das tembakan melainkan ia melebihi 10 das.

Tambah saksi pendakwaan ke-28 itu, secara keseluruhan tembakan berlaku dalam tempoh masa antara 10 hingga 15 saat.

“Jika saya berada dalam kedudukan itu, saya tidak akan lagi melepaskan tembakan kerana apa yang saya lihat kereta tersebut sudah lemah dan tidak boleh bertindak agresif lagi,” kata Mohd Izham.

Saksi juga mengakui walaupun tidak menerima arahan untuk menembak kereta tersebut, dia mula melepaskan tembakan di Bulatan Kayangan.

“Saya menembak atas inisiatif diri sendiri. Tembakan dilepaskan di Bulatan Kayangan kerana di situ adalah posisi selamat dan kedudukan untuk menembak tayar adalah lebih dekat dan senang.

“Sebab saya melepaskan tembakan ke arah tayar belakang adalah dengan niat mahu memperlahankan kereta tersebut dan menghentikannya daripada terus membahayakan nyawa pengguna jalan lain,” katanya.

Kereta AminulRasyid akhirnya berhenti setelah terbabas di tembok sebuah rumah di Jalan Tarian.

“Saya membetulkan senjata dan dalam keadaan bersiap-sedia keluar daripada kereta peronda bersama Azhar. Saya perlahan-lahan menghampiri kereta tersebut dan kelihatan satu lelaki di belakang kereta sedang cuba melarikan diri.

“Azhar cuba mengejar untuk menangkap lelaki itu. Masa Azhar cuba tangkap, lelaki itu terjatuh. Saya nampak Azhar pegang tangan lelaki itu untuk digari, tetapi lelaki itu meronta-ronta. Bila saya datang membantu, lelaki tersebut sudah dapat melarikan diri.

“Saya dan Azhar cuba kejar, tetapi saya tidak dapat lari dengan laju disebabkan tapak but sebelah kiri saya tercabut, berkemungkinan disebabkan saya banyak melipat kaki semasa menembak dari dalam kereta,” katannya lagi.

Mohd Izham juga menafikan dia ada mengacukan senjata kepada lelaki itu.

Semasa kembali ke kereta, saksi melihat badan AminulRasyid sudah berada dalam keadaan kaki terjulur keluar dari pintu hadapan pemandu, manakala sebahagian badan dan muka pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen Sembilan, di sini, tersembam di tempat duduk.

Menurut saksi, keadaan itu terjadi disebabkan tindakan tertuduh, Koperal Jenain Subi membawa mayat tersebut keluar untuk dibuat pemeriksaan badan dan mencari pengenalan diri.

“Kemudian Jenain telah menghubungi bilik gerakan Shah Alam untuk memaklumkan kejadian yang berlaku dan meminta bantuan ambulans. Saya dan Azhar terus memasang garisan kuning untuk melarang mana-mana orang daripada memasuki tempat kejadian,” katanya.

Sebaik sahaja tiba giliran peguam untuk memeriksa balas saksi, peguam M.Athimulan memohon supaya diberikan sedikit masa untuk beliau menyemak semula nota keterangan yang diberikan oleh Mohd Izham yang secara keseluruhan mengambil masa selama tujuh jam.

“Saksi ini adalah saksi penting, bukannya Muhammad Azamuddin Omar (rakan AminulRasyid yang berada di dalam kereta pada hari kejadian). Kami perlu baca semula keterangannya,” kata Athimulan.

Hakim Latifah Mohd Tahar membenarkan permohonan itu dan perbicaraan akan disambung Jumaat.

Jenain, 48, dibicarakan atas tuduhan menyebabkan kematian AminulRasyid, 15, antara pukul 1.10 dan 2 pagi, 26 April lalu di Jalan Tarian.

Pendakwaan terhadap bapa kepada empat orang anak itu dibuat mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Artikel Lain