suria

Janda Anak Tujuh Terselamat Tali Gantung

SHAH ALAM: Seorang janda beranak tujuh menyambut nasib baiknya yang terselamat daripada tali gantung dengan menangis teresak-esak.

Tangisan Paridah Wahid, 50, bermula selepas Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Asmabi Mohamad pada Rabu, melepas dan membebaskannya daripada tuduhan mengedar dadah lebih dua kilogram.

Asmabi membuat keputusan itu tanpa memanggil Paridah untuk membela diri selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap pertuduhan.

Tambah beliau, siasatan yang dijalankan oleh pegawai penyiasat dalam kes tersebut adalah tidak menyeluruh selain dadah jenis ganja seberat 2.686 gram itu ditemui berdekatan dengan tingkap di luar bilik wanita itu.

Sebelum ini, Paridah yang berasal daripada Indonesia didakwa mengedar dadah itu pada pukul 11.30 malam, 13 Februari 2008 di sebuah rumah di Jalan Kem, Pelabuhan Klang, dekat sini.

Dia yang berkerja di sebuah restoran didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Paridah diwakili peguam Jagdish Kaur manakala Timbalan Pendakwa Raya Wan Zuraida Wan Nawan mewakili pihak pendakwaan.

Artikel Lain