suria

Dua Peguam Bekas Tahanan ISA Saman Perdana Menteri

KUALA LUMPUR:Dua peguam yang merupakan bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negerai (ISA) memfailkan saman berjumlah RM200 juta terhadap Perdana Menteri atas dakwaan menahan mereka secara salah di Kem Tahanan dan Perlindungan Kamunting di Taiping, Perak.

M.Manoharan dan P.Uthayakumar memfailkan writ saman tersebut bersama pernyataan tuntutan di Kaunter Pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini menerusi firma guaman Tetuan M.Manoharan & Co.

Manoharan yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Alam Shah dari parti DAP dan Uthayakumar mendakwa mereka ditahan secara salah di kem tahanan tersebut selama 514 hari.

Selaku plaintif, mereka menamakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai defendan.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, Penguasa Kem Tahanan Kamunting dan Kerajaan Malaysia.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa antara pukul 2.30 petang dan 5 petang, 13 Disember 2007 mereka telah ditangkap secara tidak sah di sisi undang-undang oleh pihak polis.

Plaintif pertama dibawa ke Balai Polis Traves manakala plaintif kedua dibawa ke Balai Polis Wangsa Maju di sini dan tanpa sebarang siasatan, mereka telah diberikan perintah tahanan yang didakwa sebagai tidak sah di sisi undang-undang.

Perintah itu menyatakan, plaintif akan dipenjarakan selama dua tahun tanpa dibicarakan berkuatkuasa hari yang sama dan dokumen itu ditandatangani oleh defendan kedua.

Menurut plaintif, mereka dibawa terus ke kem tersebut dan diserahkan secara salah di sisi undang-undang kepada defendan kelima.

Plaintif pertama yang telah dipilih dalam Pilihan Raya Umum ke-12, terpaksa mengangkat sumpah sebagai ADUN di Kem Tahanan tersebut pada 8 Mei 2008 dan tidak dapat menghadiri semua persidangan DUN Selangor kerana defendan secara bersama menolak semua permohonan beliau.

Seterusnya plaintif mendakwa, permohonan habeas corpus yang dikemukakan untuk membebaskan mereka daripada tahanan juga telah ditolak oleh defendan.

Menurut plaintif lagi, mereka telah mengalami kesusahan, kesakitan, kehilangan dan kerosakan sepanjang dalam tempoh tahanan tersebut.

Sebagai contoh, plaintif kedua mendakwa telah dinafikan ubat kencing manis sehingga dimasukkan ke Hospital Taiping, tidak dibawa ke Institut Jantung Negara untuk pemeriksaan sakit jantung dan tidak dibawa segera ke hospital apabila tulang jari kakinya patah akibat keadaan jalan yang tidak diurus dengan baik.

Kedua-dua plaintif mendakwa, pada 3 April 2009 apabila defendan pertama menjadi Perdana Menteri, beliau hanya membebaskan beberapa tahanan tetapi enggan membebaskan plaintif, yang hanya dibawa keluar dari kem tahanan pada 9 Mei 2009.

Plaintif yang menyatakan tempoh pemenjaraan itu sebagai tidak sah di sisi undang-undang dan semua aspek, sehubungan itu memohon antaranya ganti rugi am RM100 juta setiap seorang ekoran mendakwa kehilangan keuntungan.

Mereka turut menuntut ganti rugi khas untuk ditaksirkan, faedah serta kos.

Artikel Lain