suria

Doktor Klinik Swasta Di Tawau Mati Dibunuh

TAWAU: Seorang doktor sebuah klinik swasta di sini ditemui mati dibunuh di kediamannya di Taman Bunga Tulip di sini, pada Rabu.

Mayat Dr Lim Tow Kiat, 49, ditemui dalam keadaan terlentang di ruang tamu rumah oleh seorang pekerja kliniknya yang ke rumah doktor itu kira-kira pukul 9 pagi.

"Terdapat kesan luka di bahagian belakang kepala dipercayai akibat pukulan senjata tumpul," kata Ketua Polis Daerah Tawau ACP Ibrahim Chin.

Beliau berkata berdasarkan keadaan mayat, polis percaya doktor itu dibunuh kira-kira lapan jam sebelum mayatnya ditemui.

"Tidak ada harta benda mangsa yang hilang sama ada wang ringgit atau barang bernilai lain. Satakat ini, kami percaya kejadian itu berpunca daripada perselisihan faham dengan orang yang dia kenal memandangkan tiada tanda rumah itu dipecah masuk," katanya.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain