suria

Bantuan Banjir Diberi Tanpa Pilih Bulu - Najib

ALOR SETAR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau telah mengeluarkan arahan supaya semua mangsa banjir diberikan bantuan tanpa mengira fahaman politik.

"Saya telah sampaikan arahan kita mesti beri bantuan kepada semua mangsa banjir...jangan pilih bulu yang biru ke yang hijau ke asal dia mangsa banjir, kerajaan pusat tetap beri bantuan.

Saya pegang pada prinsip kita berlaku adil...kita doakan Tuhan buka hati mereka untuk mengenang budi kerajaan," katanya semasa berucap pada majlis penyerahan Tilam 1Malaysia kepada mangsa-mangsa banjir di Kedah dan Perlis di Stadium Sultan Abdul Halim di sini, Khamis.

Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Mohamad Isa Sabu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Wira Chor Chee Heung dan Timbalan Menteri Pertanian Datuk Wira Mohd Johari Baharom.

Pada majlis itu Najib memohon maaf kepada mangsa-mangsa banjir di Kedah dan Perlis baru-baru ini kerana tidak dapat melawat mereka akibat mengidap demam campak tetapi menghantar wakil peribadi bagi membantu menyalur bantuan. - BERNAMA

Artikel Lain