suria

SPRM Bawa 547 Kes Ke Mahkamah Sejak 2008

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat, Rabu, dimaklumkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membawa 547 kes ke mahkamah dari tahun 2008 hingga September lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz ketika berkata demikian menjelaskan, dalam tempoh yang sama, 69 peratus kes perbicaraan awal telah berjaya mencapai kemenangan manakala 31 peratus lagi kalah.

"Manakala di peringkat rayuan pula, peratusan kes yang menang adalah 69 peratus berbanding 31 peratus yang kalah," katanya dalam jawapan bertulis kepada Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju) di Dewan Rakyat. Wee bertanya, mengenai jumlah kes di mahkamah yang dibawa oleh SPRM sejak 2008 hingga September 2010 dan butiran kes yang berjaya dan gagal.

Kepada soalan Wee mengenai status penyiasatan kes bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Kewangan II, Hasbie Satar, Mohamed Nazri berkata, siasatan SPRM terhadap kes itu sudah pun selesai dan kertas siasatan kini dalam pertimbangan Timbalan Pendakwa Raya.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein pula dalam jawapan bertulisnya kepada Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) berkata, negara telah menerima sejumlah 846,501 pekerja asing dari Januari hingga Ogos tahun ini.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, majoriti pekerja asing ialah daripada Indonesia (417,773), Nepal (164,575) dan Myanmar (102,849).

Liang bertanya mengenai jumlah pekerja asing yang masuk ke negara ini dari 2005 hingga 2010 mengikut negara dan tindakan kementerian terhadap ejen pekerja asing yang lewat atau langsung tidak mengambil mereka dari Lapangan Terbang Antabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Hishamuddin berkata, berdasarkan statistik Jabatan Imigresen pada 2005 seramai 1,815,238 pekerja asing daripada pelbagai negara berada di negara ini, diikuti 2006 (1,869,209 orang), 2007 (2,044,805), 2008 (2,062,596) dan 1,918,146 orang pada tahun lepas.

Katanya jika seandainya ejen-ejen yang sah tidak melaksanakan urusan pengambilan pekerja asing secara teratur, mereka boleh disenaraihitamkan dan tidak dibenarkan untuk membuat sebarang urusan pengambilan pekerja asing dengan kerajaan pada masa hadapan. - BERNAMA

Artikel Lain