suria

Presiden Republik Korea Melawat Malaysia Selama Dua Hari Mulai Khamis

KUALA LUMPUR: Presiden Republik Korea Lee Myung-bak akan melakukan lawatan negara pertamanya ke Malaysia selama dua hari mulai Khamis ini sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Lee akan disambut secara rasmi oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dalam satu upacara di Parlimen Jumaat ini.

Beliau juga dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara selain menghadiri Majlis Santapan Diraja yang dihoskan oleh Seri Paduka Baginda.

Lee, yang akan diiringi Menteri Pengetahuan Ekonomi, pegawai kanan dan sekumpulan ahli perniagaan, turut dijadualkan mengadakan mesyuarat delegasi dua hala dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut kenyataan Wisma Putra, kedua-dua pihak dijangka memfokus kepada isu dua hala termasuk mengenalpasti bidang kerjasama baru di samping menyentuh isu serantau dan antarabangsa.

Lee juga dijangka menghadiri majlis perasmian Mesyuarat Meja Bulat dengan ahli perniagaan Korea dan Malaysia.

Malaysia dan Republik Korea menikmati hubungan akrab sejak wujudnya hubungan diplomatik pada 1960.

Kedua-dua negara mempunyai kerjasama yang amat baik terutama dalam perdagangan dan pelaburan, pengajian tinggi, sains dan teknologi serta pelancongan malah pada tahun lepas Republik Korea adalah rakan perdagangan keenam terpenting bagi Malaysia.

Kenyataan Wisma Putra menyebut lawatan negara itu dilihat sebagai tanda positif dan dorongan untuk mempromosi kerjasama dalam pelbagai bidang dan ia juga dapat menyumbang ke arah mengeratkan lagi hubungan dua hala Malaysia dan Republik Korea.

Lawatan itu juga dapat membantu meningkatkan hubungan politik dan menjalin hubungan yang lebih rapat antara pemimpin kedua-dua negara dan mencipta momentum positif untuk meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang. - BERNAMA

Artikel Lain