suria

Perbankan Islam Boleh Bantu Makmurkan Masyarakat Islam - Tun Mahathir

SINGAPURA: Masyarakat Islam di negara-negara Asia Tenggara boleh meningkatkan kedudukan ekonomi mereka jika mereka mendapat akses kepada perbankan Islam, kata bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata majoriti masyarakat Islam di rantau ini tidak mempunyai bank untuk mereka meminjam wang mengikut peraturan Islam, dan ini membatasi kemajuan mereka di bidang ekonomi.

Berucap di Persidangan Kewangan Islam anjuran Persatuan Usahawan Melayu Singapura (Kesuma) di sini pada Selasa, Mahathir berkata dengan perbankan Islam, orang Islam yang mengambil berat tentang "riba" kini boleh meminjam dan melabur wang dengan bebas.

Mahathir berkata: "Perbankan Islam akan wujud kekal di sini", dan menambah masa depannya amat cerah terutama di rantau Asia Tenggara yang cepat berkembang dan mempunyai pasaran yang besar dengan lebih 500 juta penduduk yang majoritinya Muslim.

Beliau menarik perhatian bahawa perbankan Islam boleh memain peranan penting terutama untuk membantu masyarakat Islam keluar dari belenggu kemiskinan, dan bersaing dengan bukan Islam yang telah lama hidup makmur.

Mahathir berkata terdapat hubungkait antara pertumbuhan perbankan Islam dengan ekonomi Islam.

Beliau berkata dengan perbankan Islam masyarakat Islam di rantau ini boleh mendapatkan modal yang diperlukan dengan mudah untuk mengembangkan perniagaan mereka atau menambah kekayaan.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan di samping kemudahan mendapat modal, orang Islam mesti mempunyai kemahiran dan ilmu tentang bagaimana mengendali perniagaan dan menguruskan wang mereka jika mahu berjaya dalam bidang ekonomi.

Bekas perdana menteri itu juga menegaskan perlunya orang Islam belajar dan menerokai jenis-jenis perniagaan seperti sektor perdagangan, perkhidmatan dan pembuatan bagi meluaskan lagi kemampuan dan keupayaan mereka dalam industri perniagaan.

Mahathir berkata jika orang Islam berjaya dalam usaha ekonomi mereka, bukan Islam juga ingin menjalankan perniagaan dengan mereka, malahan meminjam wang dari bank-bank Islam.

Beliau juga berkata perbankan Islam mempunyai perlindungan kukuh berbanding perbankan konvensional sebagaimana dilihat pada keruntuhan perbankan global baru-baru ini berikutan krisis ekonomi dunia.

"Perbankan Islam kalis urusan bengkok, dan ia lebih hebat dari perbankan konvensional," kata Mahathir dan menambah mereka yang mengendali bank Islam mematuhi dengan ketat peraturan-peraturan Islam.

Kepada soalan mengenai penggunaan dinar emas di Kelantan, Mahathir berkata negeri itu melaksanakannya terlalu awal.

"Bila saya cadangkan kita guna dinar emas, ia adalah untuk digunakan bagi melangsaikan bayaran bagi perdagangan antara dua negara atau lebih," kata beliau, dan berkata pada masa ini masih banyak negara lebih suka menggunakan dolar Amerika.

Sambil berkata adalah tidak praktikal menggunakan dinar emas dalam ekonomi domestik, beliau menegaskan: "Kita tidak boleh gunakan dinar emas dalam urusniaga seharian, oleh kerana seseorang perlu membawa banyak duit emas dalam poket dan anda boleh dirompak".

Kepada soalan lain, Mahathir berkata adalah amat sukar mendapatkan 52 negara Islam di dunia bertindak bersama ketika ini untuk menggunakan perbankan Islam atau mengadakan satu sistem kewangan Islam.

Katanya, masih banyak negara Islam tidak mempunyai kepimpinan politik yang kukuh dan juga mereka banyak bergantung pada Barat terutama Amerika Syarikat untuk survival ekonomi dan bergerak melawan perbankan dan sistem kewangan antarabangsa sekarang. - BERNAMA

Artikel Lain