suria

Nik Aziz Cuma Sakit Pinggang, Bukan Tenat - Anak

KOTA BAHARU: Khabar angin kononnya Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kini tenat di hospital adalah tidak benar dan beliau hanya mengalami sakit di bahagian pinggang, kata anak keduanya, Nik Omar.

"Ayahanda saya sihat, Alhamdulillah...kesan balik Mekah menunaikan haji ayahanda mengadu sakit di bahagian pinggang sahaja.

"Alhamdulillah (beliau) boleh ke masjid dan sembahyang berjemaah (tetapi) dalam keadaan duduk," katanya kepada pemberita di rumah Menteri Besar itu di Pulau Melaka di sini pada Rabu.

Nik Aziz bagaimanapun tidak menemui pemberita kerana sedang diurut.

Pada pukul 12 tengah hari, beliau dibawa ke Hospital Pakar Perdana di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Mursyidul Am PAS itu sempat menunjukkan isyarat bagus kepada jurugambar ketika berada dalam kenderaan yang membawanya itu.

Beberapa blog sejak semalam melaporkan bahawa Nik Aziz tenat dan dimasukkan ke sebuah hospital di sini untuk rawatan.

Ia kerana beliau tidak hadir pada beberapa upacara rasmi, terbarunya malam tadi, bagi merasmikan pengisytiharan Majlis Daerah Ketereh sebagai Majlis Perbandaran Islam.

Nik Omar berkata masalah kesihatan ayahnya sebenarnya juga tidak mengganggu urusan kerajaan negeri.

"Kalau bercuti pun ayahanda tetap ke pejabat untuk menyelesaikan beberapa tugasnya," katanya.

Nik Omar berkata sebagai anak beliau lebih mengetahui masalah kesihatan yang berlaku terhadap bapanya itu.

"Tak perlu sampai nak menerima rawatan di hospital sebelum ini. Kalau demam tu lainlah dan ini cuma sakit orang tua. Dan mengenai blog yang mendakwa ayahanda sakit tenat itu sayapun tak baca lagi," katanya.

Nik Aziz, 79, menjadi Menteri Besar sejak 1990 dan pernah mendapat rawatan di Institut Jantung Negara beberapa tahun lalu. - BERNAMA

Artikel Lain