suria

Najib: Langkawi Perlukan Dorongan Baru Gamit Pelancong...

LANGKAWI: Langkawi perlu mempunyai satu dorongan baru sebagai sebahagian daripada pelan untuk muncul sebagai destinasi pelancongan yang ulung di dunia, kata Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, sejak setahun lalu beliau telah berbincang dengan beberapa pihak terutama Khazanah Nasional Berhad berhubung proses pembangunan semula Langkawi dalam usaha memenuhi impian mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membangunkan Langkawi sebagai destinasi pelancongan yang unggul.

" Kita mahu pembangunan baru. Oleh itu, kita perlu dorongan baru. Konsep pembangunan perlu mengekalkan habitat dan situasi semulajadi yang ada sekarang di sekitar pulau ini," katanya ketika berucap merasmikan Pelan Pembangunan pusat peranginan Teluk Datai di sini, Rabu.

Turut hadir ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Tan Sri Azman Mokhtar.

Najib menegaskan, proses pembangunan juga perlu menghasilkan nilai kepada negara seperti usaha sama dengan syarikat-syarikat tempatan memandangkan pelancongan merupakan sektor utama yang mahu diberi penekanan oleh kerajaan.

"Fasa pembangunan bukan hanya untuk Teluk Datai sahaja tetapi untuk Langkawi secara keseluruhannya. Banyak orang berkata Langkawi telah ketinggalan selepas era Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri," katanya.

Beliau berkata, majlis hari ini merupakan pengumuman mengenai projek empat dalam satu dengan pembangunan villa membabitkan 14 unit sebagai projek utama.

"Keduanya, adalah bagi membina hotel baru, 300 bilik hotel. Ketiga, untuk meningkatkan pasaran hotel lima bintang kepada enam bintang. Dan akhir sekali, ialah pembangunan semula padang golf Datai kepada standard antarabangsa," tambah beliau.

Najib juga berkata, pelan pembangunan ini merupakan perkongsian yang baik antara syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat-syarikat swasta bagi menghasilkan nilai kepada projek itu dan negara.

Projek pembangunan itu membabitkan anggaran pelaburan RM1 bilion di Teluk Datai melalui Teluk Datai Resorts Sdn Bhd, satu usaha sama antara Khazanah Nasional dan juga pengasas-pengasas asal melalui Archipelago Hotels (East) Sdn Bhd.

Sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat, Teluk Datai Resorts telah menjadikan Sekolah Kebangsaan Ewa sebagai anak angkat di bawah program PINTAR.

Sekolah itu merupakan satu daripada sekolah-sekolah di Langkawi dengan kebanyakan kakitangan Teluk Datai Resorts menghantar anak mereka bersekolah di situ.

***

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Khazanah Nasional Bhd melalui syarikat penerima pelaburan, Teluk Datai Resorts Sdn Bhd dan rakan kongsi akan melabur RM1 bilion di Teluk Datai, Langkawi, kata Pengarah Urusan Tan Sri Azman Mokhtar.

Beliau berkata projek lima tahun itu akan dilaksanakan berdasarkan kepada pembangunan induk Teluk Datai yang akan menyaksikan pelaburan semula dalam hotel-hotel sedia ada di kawasan itu dan pelaburan di tanah yang diperuntukkan khusus.

"Pelaburan Khazanah di Teluk Datai Resorts merupakan komitmen berterusannya bagi memangkin ekonomi domestik dengan melabur dalam liburan dan pelancongan yang telah dikenal pasti oleh kerajaan sebagai satu sektor utama di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA)," katanya kepada pemberita.

Azman berkata, projek berkenaan konsisten dengan teras utama Model Baru Ekonomi (MBE) ke arah menjadikan Malaysia ekonomi berpendapatan tinggi, disokong oleh tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi serta perkhidmatan dan produk mampan dan mempunyai semangat kerjasama dan perkongsian antara sektor awam dan swasta.

Menurut Pengarah Eksekutif Pelaburan Khazanah, Mohd Nadziruddin Mohd Basri, projek itu akan dibiayai melalui perkongsian ekuiti atau pinjaman bank serta boleh mewujudkan 3,000 peluang pekerjaan.

Azman berkata, projek itu akan bermula dengan hotel The Datai Langkawi melalui pembangunan 13 vila mewah satu bilik villa dua bilik di mana kerja telah bermula dan dijangka siap pada suku pertama 2012.

"Teluk Datai Resorts juga memulakan usaha menyusun semula The Golf Club, Datai Bay akan menaik taraf padang golf dan juga membolehkan tanah dioptimumkan untuk pembangunan di kawasan tepi pantai," katanya dan menambah yang penyiapan kerja menaik taraf dan kerja menyusun semula disasarkan pada suku ketiga 2012.

Cabang pemegangan pelaburan pada Julai memperoleh 70 peratus kepentingan ekuiti di Teluk Datai Resorts, yang memiliki hotel The Datai Langkawi, The Golf Club, Datai Bay dan tanah seluas 1,494 ekar di Teluk Datai.

Baki 30 peratus kepentingan di Teluk Datai Resorts dipegang oleh pengasas asalnya, Tan Sri Razali Rahman dan Datuk Hassan Abas, melalui Archipelago Hotels (East) Sdn Bhd.

Semasa majlis berkenaan, Teluk Datai Resorts juga menandatangani perjanjian dengan Shangri-La Hotels (Malaysia) Bhd bagi penubuhan syarikat usaha sama untuk membangunkan resort 5 bintang.

Mengikut perjanjian itu, Teluk Datai Resort akan menyuasai 51 peratus syarikat itu dan Shangri-La Malaysia bagi baki 49 peratus. Resort itu akan diuruskan oleh Shangri-La International Hotel Management Ltd di bawah jenama Shangri-La.

Menurut Azman, akan terdapat sebuah lagi hotel premium 6 bintang dan pilihan villa premium untuk jualan di Teluk Datai.

Jelas beliau, Teluk Datai Resorts melantik Camco South East untuk melaksanakan kajian pembangunan mampan dan pemuliharaan sumber geo warisan Langkawi.

"Camco SEA juga akan meneroka peluang bagi membentuk jalinan dengan rakan kongsi tempatan bagi memulihara aset semula jadi dan memberikan faedah sosial kepada masyarakat tempatan," katanya.

Artikel Lain