suria

Kerajaan Pertimbang Kebenaran Untuk Hakim Syarie Wanita Hakimi Kes Perkahwinan Dan Perceraian

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti peraturan pelantikan Hakim Mahkamah Syariah wanita bagi membolehkan mereka mengadili kes-kes berhubung perkahwinan dan perceraian, persidangan Dewan Rakyat diberitahu pada Rabu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata bagaimanapun usaha itu memerlukan kerjasama daripada Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) kerana mereka mempunyai peraturan lantikan dan kekangan masing-masing berhubung perkara itu.

Beliau berkata proses untuk hakim syarie wanita menghakimi kes tertentu sudah termaktub dalam enakmen negeri dan peraturan di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

"Apapun usaha ke arah memberi ruang lebih luas termasuk dalam lingkungan dibenarkan syariah dan mengikut pandangan ulama sedang diusahakan tetapi tidak boleh dilakukan dengan sekelip mata. Kita perlukan sokongan dan kebenaran MAI Ndan JAIN untuk memastikan hakim syarie wanita diberi ruang yang lebih luas," katanya menjawab soalan Datuk Ismail Kasim (BN-Arau) pada sesi soal jawab di Parlimen, di sini.

Isu tersebut turut dibangkitkan Dr Siti Mariah Mahmud (PAS-Kota Raja) yang bertanyakan sebab dua hakim syarie wanita yang dilantik pada Julai lepas, Suraya Ramli, 31, dan Rafidah Abdul Razak, 39, tidak dibenarkan menghakimi kes-kes berhubung perkahwinan dan perceraian.

Jamil Khir berkata kerajaan amat prihatin terhadap kaum wanita dan pelantikan dua hakim tersebut dilakukan atas hasrat murni untuk melihat wanita berada di Mahkamah Syariah.

"Sebab itu bukan setakat hakim wanita sahaja, semalam pun dah beri anugerah Maal Hijrah kepada wanita, kedua-duanya pertama kali dalam sejarah. Namun kita memahami setiap negeri mempunyai peraturan pelantikan masing-masing dan kekangan yang termaktub dalam peraturan itu," jelasnya.

Sementara itu, menjawab soalan Siti Mariah mengenai jumlah Hakim Mahkamah Syariah di seluruh negara, Jamil Khir berkata daripada 160 jawatan yang ada, hanya 119 telah diisi manakala 41 yang lain masih kosong.

Beliau berkata kekosongan itu berpunca kerana hakim-hakim adalah penjawat awam dan tertakluk kepada proses kenaikan pangkat dan peraturan Jabatan Perkhidmatan Awam serta kelayakan lain yang ditetapkan oleh kerajaan negeri, sebelum boleh menjadi Hakim Mahkamah Syariah.

"Pegawai Syariah yang bergred LS41 yang belum memenuhi syarat kenaikan pangkat, tidak lagi layak untuk dinaikkan pangkat ke gred LS44 iaitu gred minimum perjawatan Hakim Mahkamah Syariah," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain