suria

Hanya Sedikit Bangunan Di KL Tiada Ciri Keselamatan - Pengarah Bomba KL

KUALA LUMPUR: Hanya sebilangan kecil sahaja bangunan di ibukota ini didapati tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan sepenuhnya khususnya dalam menghadapi kebakaran, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Othman Abdullah.

Beliau berkata bangunan itu merangkumi kedai lama, rumah pangsa lama dan rumah kedai yang diubah suai, misalnya dijadikan pusat hiburan.

"Hanya satu peratus sahaja bangunan di Kuala Lumpur tidak mematuhi piawaian yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan jentera bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jalil di sini pada Rabu.

Pada majlis itu, enam buah jentera diserahkan kepada Balai Bomba Pusat, Pudu, Hartamas, Cheras, Pantai dan Taman Desa selain enam buah kenderaan utiliti kepada bahagian kejuruteraan pusat, Balai Bomba Jinjang dan tiga lagi kepada bahagian operasi.

Othman berkata pihaknya berpuas hati kerana hasil pemantauan, bangunan-bangunan baru didapati mempunyai ciri-ciri keselamatan yang memuaskan khususnya bagi menghadapi kebakaran.

"Kita tidak khuatir tentang bangunan-bangunan yang tinggi dan baru seperti Menara Maybank kerana mereka ada ciri-ciri keselamatan sendiri contohnya jika berlaku kebakaran secara automatik, sistem 'sprinkler' akan berfungsi," katanya.

Beliau berkata sepanjang tahun lepas sebanyak RM55,000 kompaun telah dikeluarkan terhadap pemilik bangunan yang tidak dilengkapi ciri-ciri keselamatan yang tidak memuaskan.

"Kompaun sehingga RM5,000 dan penjara selama dua tahun akan dikenakan kepada mereka yang masih tidak menyelenggara bangunan selepas amaran dikeluarkan selain tambahan RM100 sehari selagi bangunan tersebut tidak diselenggara," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain