suria

Dua Rumah Di Kampung Gum-Gum Musnah Akibat Arus Deras Banjir

SANDAKAN: Dua rumah di tebing sungai Gum-Gum musnah dihanyutkan arus deras akibat banjir di Kampung Gum-Gum dekat sini pada Selasa.

Tiada insiden tidak diingini berlaku kerana dua keluarga yang tinggal di rumah tersebut telah pun meninggalkan rumah mereka selepas menyedari struktur rumah mereka menjadi tidak kukuh.

Salah seorang pemilik rumah itu, Hassan Selamat, 64, yang tinggal seorang diri di rumahnya, berkata dia bersyukur kerana sempat membawa keluar semua barangan dari rumah itu yang didudukinya sejak 20 tahun lepas.

Akibat kejadian itu, katanya dia mengalami kerugian kira-kira RM50,000.

Sudin Ugara, 70, pemilik sebuah lagi rumah yang musnah, berkata hujan lebat pada malam sebelum itu menyebabkan air sungai Gum-Gum naik secara mendadak dan menyebabkan banjir.

Katanya mereka sekeluarga sedih kerana kehilangan tempat tinggal dan terpaksa menumpang tinggal di rumah saudara mereka di kampung itu namun dia bersyukur semua mereka terselamat dalam kejadian itu.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Gum-Gum Datuk Zakaria Edris yang ditemui ketika Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Gum-Gum dekat sini pada Rabu berkata dua keluarga terbabit akan diberi bantuan segera termasuk menduduki rumah di Projek Perumahan Rakyat Gum-Gum.

Katanya perkara itu akan dirujuk kepada Majlis Perbandaran Sandakan bagi membolehkan urusan perpindahan ke taman perumahan itu dapat dilakukan dengan segera. - BERNAMA

Artikel Lain