suria

DAPAT KUASA, CARA DAP...

ADA seorang pembaca telah menulis kepada penulis dan bertanya, bagaimana DAP memilih barisan kepimpinan negerinya kerana dia sedikit keliru. Keliru kerana walaupun Teresa Kok mendapat tempat ke-11 dalam pemilihan barisan 15 anggota Jawatankuasa DAP Selangor tetapi dia terpilih pula sebagai pengerusi.

Jadi pembaca setia Mingguan mStar itu bertanya, bagaimanakah DAP memilih barisan kepimpinannya?

Bagi mereka yang tidak tahu, eloklah penulis bentangkan di sini sedikit sebanyak cara DAP memilih pemimpin. Sistem pemilihan kepimpinan pusat dan juga negeri DAP jauh berbeza dengan parti-parti politik nasional yang lain.

Perwakilan yang menghadiri Konvensyen DAP Pusat atau Negeri hanya bertanggungjawab memilih barisan jawatankuasa negeri yang terdiri daripada 15 orang anggota menerusi undi sulit. Selepas 15 anggota jawatankuasa pusat atau negeri ini terpilih, mereka (15 anggota ini) pula akan mengundi (juga secara sulit) untuk memilih pengerusi, timbalan pengerusi, naib-naib pengerusi, setiausaha agung dan lain-lain jawatan utama dalam parti.

Oleh yang demikian, kem mana yang memperolehi wakil yang paling ramai dalam barisan jawatankuasa negeri lah yang akan menentukan siapakah di antara ‘calon’ mereka yang akan menjadi pengerusi.

Dalam kes di Selangor, terdapat dua kem yang bersaing hebat untuk mendapat pengaruh perwakilan. Satu kem diterajui Tereka Kok yang juga merupakan anggota Exco Kanan Kerajaan Negeri Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kinrara. Satu kem lagi diterajui Teng Chang Khim, Speaker Dewan Undangan Negeri.

Dalam pemilihan di peringkat jawatankuasa negeri, Teresa memperolehi tempat ke-11 dengan hanya 437 undi sementara Teng Chang Khim di tempat keempat dengan 524 undi.

Tetapi oleh kerana calon-calon dari kem yang diterajui oleh Teresa lebih ramai yang dipilih menduduki jawatankuasa negeri, Kok terpilih sebagai pengerusi mengalahkan Teng. Kok mendapat lapan undi berbanding Teng tujuh undi untuk jawatan pengerusi DAP negeri.

Begitulah sedikit sebanyak demokrasi cara DAP. Walaupun perwakilan meletak Teresa di tangga ke-11, tetapi akhirnya dia yang menjadi pengerusi kerana yang meletakkan dia ke kerusi itu adalah kumpulan elit yang terdiri daripada 15 orang ahli jawatankuasa sahaja. Syabas YB Teresa.

NIKMAT KUASA...

Ramai juga yang tertanya-tanya kenapa dahulu tidak pernah pun kedengaran wujudnya kem dalam pemilihan DAP apatah lagi di peringkat negeri dan baru-baru ini di peringkat pemilihan kepimpinan Cabang PKR pula, tidak kurang juga hiruk pikuk perebutan kerusi malah ada yang bila tidak dapat kerusi, mereka baling kerusi.

Jawapannya mudah. Dulu parti-parti ini tidak pernah merasai nikmat kuasa tetapi kini parti-parti ini ada kuasa. Sekurang-kurangnya di Pulau Pinang dan Selangor, DAP berkongsi kuasa dengan PKR dan juga PAS. PAS sepertimana Umno, sudah sekian lamanya merasai nikmat kuasa. Tetapi bagi PKR dan DAP inilah pertama kalinya mereka merasai nikmat kuasa.

Kata sasterawan Indonesia, Pramoedya Ananta Toer, yang karya agungnya “Keluarga Gerilya” kita baca sebagai buku teks sastera di Tingkatan Enam pada era tahun 80an dahulu; “manusia itu lupa kita makan sebenarnya bukan untuk kenyang tetapi untuk memperolehi nikmat makan. Begitu juga manusia bikin seks bukan untuk buat anak tetapi kerana nikmat seks itu sendiri.”

Begitulah juga dengan politik. Nikmat memperolehi kuasa bukan kepalang. Dahulu siapa yang nak berebut kerusi dalam PKR dan DAP kerana ia parti tidak ada kuasa. Tetapi kini kedua-dua parti itu adalah parti yang berkuasa di beberapa buah negeri.

Memenangi jawatan dalam parti yang berkuasa merupakan laluan untuk dilantik sebagai pengerusi JKKK, sebagai penghulu, sebagai ahli majlis perbandaran, sebagai wakil zon jawatankuasa penduduk, sebagai senator, sebagai wakil rakyat, sebagai exco kerajaan negeri, speaker dan juga sebagai menteri besar.

Yang tidak dapat jawatan dalam kerajaan atau majlis perbandaran atau lantikan-lantikan lain yang berkaitan dengan kuasa, jawatan dalam parti akan memudahkan mereka bersaing dalam perebutan tender.

Dulu kita ingat dalam DAP tidak wujud semua ini tetapi apabila dapat kuasa, timbul pelbagai isu penyalahgunaan surat sokongan untuk dapat tender dari serendah-rendah tender di peringkat majlis daerah sehinggalah ke tender majlis perbandaran dan agensi serta jabatan milik negeri. Malah kita dengar tender diberi kepada syarikat yang ada kaitan dengan anak, isteri dan lain-lain lagi. Semua ini adalah berkaitan dengan nikmat kuasa.

Jadi ini adalah fitrah manusia iaitu mengejar nikmat dunia. Maka tidak hairanlah tiba-tiba parti yang suatu ketika dahulu dianggap sebagai hanya layak untuk membangkang kini menjadi rebutan ramai.

Artikel Lain