suria

Tiga Lelaki Myanmar Mati Disembelih

GEORGE TOWN: Tiga lelaki warga Myanmar ditemui mati dipercayai dibunuh dengan kesan kelar dan tikaman pada badan mereka di Flat Menara 1C, Lorong Semarak Api 2, Bandar Baru, Ayer Itam di sini, Selasa.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata, siasatan awal polis mendapati ketiga-tiga mangsa sebelum itu terlibat dalam satu pergaduhan yang berlaku kira-kira 9.25 pagi Selasa.

"Mangsa ditemui mati di dua lokasi berasingan dalam rumah yang telah diubah suai oleh pihak pengurusan pangsapuri berkenaan, Dua mangsa ditemui di bahagian dapur dan seorang lagi di bilik tidur.

"Dipercayai salah seorang daripada mangsa bekerja di bahagian penyelenggaraan pangsapuri berkenaan. Ketiga-tiga mangsa berusia lingkungan 20an," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Katanya, polis turut menemui dua bilah pisau iaitu pisau pemotong sayur dan pisau pemotong daging yang mempunyai kesan darah berhampiran dengan mangsa di tempat kejadian.

Gan berkata, polis menahan seorang rakan mangsa yang turut menyewa rumah berkenaan untuk membantu siasatan, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian itu diminta menghubungi polis di talian 04-2288222 atau mana-mana balai polis berhampiran, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain