suria

Polis Perlis Selesaikan 59 Kes curi Motosikal Di tiga Negeri

KANGAR: Polis percaya dapat menyelesaikan 59 kes curi motosikal di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang dengan tertangkapnya 13 orang suspek termasuk lapan pelajar sekolah sejak lebih seminggu lalu sehingga Isnin.

Pemangku Ketua Polis Perlis, Asisten Komisioner Zull Aznam Haron berkata, mereka yang ditangkap secara berperingkat itu berumur antara 15 dan 21 tahun dan berasal dari Kedah dan Perlis dan lebih ramai lagi dijangka akan ditangkap.

Bercakap kepada pemberita di sini, Selasa beliau berkata, setakat ini sebanyak 29 rangka motosikal dan 13 rangka enjin telah dijumpai di Sungai Sentap, Kampung Katong dekat sini baru-baru ini yang dipercayai telah dibuang oleh suspek-suspek itu.

Selain menemui rangka motosikal dalam sungai, polis turut merampas tujuh buah motosikal, pelbagai komponen motosikal dan peralatan mencuri motosikal di rumah suspek itu.

Mengenai pembabitan para pelajar dalam kes curi motosikal, Zull Aznam berkata, ia membabitkan para pelajar sekolah teknikal atau pelajar kemahiran dari Institusi Pengajian Tinggi yang mana kebanyakan mereka mempunyai kebolehan dan mahir mengenai motosikal.

Kesemua suspek itu ditahan dan barang rampasan akan disiasat mengikut Seksyen 39A Kanun Kesiksaan kerana mencuri kenderaan motor dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara selama tidak kurang daripada setahun atau tidak melebihi tujuh tahun atau denda.

Kes itu juga akan disiasat di bawah Seksyen 411 Kanun Kesiksaan kerana menyimpan harta curi bermotor dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak kurang daripada enam bulan atau tidak melebihi lima tahun atau denda.

Zull Aznam berkata, kes itu juga disiasat di bawah Seksyen 412 Kanun Kesiksaan kerana berniaga harta curi dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda.

Katanya, kes itu juga akan disiasat mengikut Seksyen 414 Kanun Kesiksaan kerana menyembunyikan harta curi bermotor atau komponennya dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak kurang 6 bulan dan tidak melebihi tujuh tahun atau denda atau pesalah boleh dikenakan tindakan di bawah Undang-Undang Pencegahan iaitu dikeluarkan dari daerah tempat tinggal. - BERNAMA

Artikel Lain