suria

Lelaki Lepaskan 11 Das Tembakan Ke Arah Sebuah Kereta, Dua Cedera

BATU GAJAH: Seorang lelaki melepaskan 11 das tembakan ke arah tiga lelaki di dalam sebuah kereta di Taman Sri Wangsa, di sini Isnin malam, mengakibatkan dua daripada lelaki itu cedera.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah Asisten Komisioner Najib Mohamad berkata yang cedera dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 malam itu ialah pemandu kereta K.Raja, 31, yang berasal dari Taman Sri Wangsa, dan rakannya M.Paramsivan, 24, yang berasal dari Taman Desa Ria, Petaling Jaya, Selangor.

"Seorang lagi lelaki berumur lingkungan 20-an yang duduk di bahagian penumpang belakang kereta tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Beliau berkata kejadian berlaku semasa kereta yang dinaiki tiga lelaki itu dihampiri oleh dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha berwarna gelap.

Katanya seorang daripada suspek yang bersenjatakan sepucuk pistol kemudiannya melepaskan 11 das tembakan ke arah ketiga-tiga lelaki di dalam kereta itu, sebelum melarikan diri.

Najib berkata Raja yang bekerja sebagai pengimpal besi mengalami kecederaan di bahu kanan, manakala Paramsivan yang bekerja sebagai pemandu lori, cedera di paha kiri.

Katanya kedua-dua mereka dihantar ke Hospital Batu Gajah untuk dirawat dan keadaan mereka stabil.

Beliau berkata polis menemui 11 kelongsong peluru 9mm di tempat kejadian, di samping mengesan 11 kesan tembakan di kereta jenis Proton Wira tersebut, dan sedang berusaha memburu dua suspek itu di samping menyiasat motif kejadian.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah dengan menelefon 05-3662222 untuk membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain