suria

Kerajaan Kaji Perkenal Garis Panduan Elak Individu Kutip Wang Untuk Politik

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji untuk memperkenalkan satu garis panduan yang melarang individu mengutip wang bagi membiayai aktiviti politik, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala.

Idris, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) berkata semua kutipan dana pada masa depan hanya boleh dilakukan oleh parti politik dan bukannya atas kapasiti peribadi individu.

"Kita tidak mahu kes berulang (di mana) individu yang mengutip wang untuk tujuan membiayai aktiviti politik, tetapi sebaliknya diseleweng untuk dimasukkan ke dalam poket mereka sendiri," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan bertajuk Perkongsian Sektor Awam dan Swasta Bagi Membanteras Rasuah di sini Isnin.

Beliau berkata langkah untuk membanteras perbuatan rasuah di negara ini akan mengambil masa yang panjang berikutan terdapat sebilangan penduduk yang telah menerima perbuatan itu sebagai adat budaya di Malaysia.

Sementara itu, Penolong Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhammad Salim Sundar Abdullah berkata bagi tahun 2010, seramai 488 orang awam ditahan SPRM kerana rasuah, manakala 229 pula membabitkan penjawat awam.

"Jumlah tangkapan ini meningkat berbanding 287 orang awam dan 190 penjawat awam yang ditahan pada 2009," katanya semasa menjadi panel seminar bertajuk Keberkesanan Sektor Awam dan Swasta Bagi Menangani Rasuah anjuran Transparency International Malaysia di sini. - BERNAMA

Artikel Lain