suria

Kenyataan Ku Li Pertikai Kedudukan Sultan Kelantan, Pandangan Beliau - Pengelola Istana

KOTA BARU: Pengelola Istana Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad berkata tindakan tokoh politik veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah yang masih mempertikai kedudukan Sultan Kelantan dari segi undang-undang adalah hak dan pandangan peribadi beliau.

Katanya, ini kerana kedudukan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V telahpun diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

"Saya juga tidak dititahkan untuk membuat kenyataan berhubung kenyataan (Tengku Razaleigh) itu. Barangkali ia perlu dikaji oleh pakar yang berkaitan undang-undang," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis perasmian Hijratul Rasul peringkat Negeri Kelantan yang disempurnakan Sultan Muhammad V, di sini, Isnin malam.

Menurutnya, beliau perlu mendapat titah daripada Sultan sebelum mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung kenyataan Tengku Razaleigh itu.

Bekas Menteri Kewangan itu, dalam kenyataan kepada media semalam masih mempersoalkan status kedudukan Sultan Kelantan dari undang-undang.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu selepas diminta mengulas keputusan Sultan Muhammad Ke-V memperkenankan penarikan balik dua anugerah kebesaran negeri, Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (DK) (Al-Yunusi) dan tauliah pelantikan Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (S.P.M.K) (Al-Muhammadi I).

Pada 5 Disember, Istana Kelantan mengesahkan penarikan balik dua darjah kebesaran itu yang dikurniakan kepada Tengku Razaleigh. Ini berikutan kenyataannya sebelum itu yang disiarkan akhbar berbahasa Cina dan menyinggung perasaan Sultan Kelantan.

Tuanku Muhammad Faris Petra Tuanku Ismail Petra dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan pada 13 Sept lalu.

Tengku Razaleigh, 73, yang juga Ketua Umno Gua Musang adalah datuk saudara kepada Sultan Muhammad V sebelah bondanya, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid. - BERNAMA

Artikel Lain