suria

Jangan Runtuhkan Perpaduan Hanya Untuk Penuhi Tuntutan Mereka Yang Ekstrem - Agong

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini bertitah supaya rakyat Malaysia tidak meruntuhkan perpaduan yang dibina hanya kerana memenuhi tuntutan segelintir pihak yang ekstrem dan rakus meraih keuntungan untuk kelompok sendiri.

"Perancangan pembangunan negara pasti akan terbantut sekiranya perpaduan dan keharmonian rakyat tidak dipertahankan bersama," titah baginda pada sambutan Ma'al Hijrah 1432 peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, Selasa.

Baginda bertitah, negara akan terdedah kepada kemunduran dan kehancuran sekiranya masyarakat saling curiga mencurigai serta saling bertelagah.

"Adalah menjadi tanggungjawab bersama bagi memastikan negara dalam keadaan aman dan berjaya untuk diwarisi oleh anak-anak kita nanti," titah baginda.

Seri Paduka bertitah, untuk mencapai perpaduan yang diidamkan bukanlah satu yang mudah, dan semua pihak harus memainkan peranan dan membuktikan keikhlasan bagi mencapai tujuan tersebut.

Baginda bertitah, semua kaum haruslah saling memahami dan menghormati serta bertolak ansur demi keharmonian rakyat dan negara.

"Bagi umat Islam, binalah ummah dan negara yang tercinta ini atas dasar iman dan ukhuwah yang erat. Ambillah pengajaran daripada peristiwa hijrah ini dengan penuh keinsafan dan mengharapkan keredaan Allah Subhanahu wata'ala," titah baginda.

Menyentuh mengenai peristiwa Hijrah, Tuanku Mizan bertitah peristiwa itu telah membawa perubahan dan transformasi positif pada sikap dan cara hidup umat Islam dan telah menggambarkan betapa perlunya pengorbanan dan usaha yang gigih dalam mencapai kejayaan sama ada di dunia mahupun di akhirat.

Umat Islam perlu mengambil contoh golongan Muhajirin dan Ansar yang sanggup mengorbankan kepentingan sendiri demi Islam, titah baginda.

Baginda bertitah, semua pengajaran ini akan tinggal dalam lipatan sejarah sekiranya" kita terus leka dan hanya berbangga dengan pencapaian umat terdahulu sedangkan kita sendiri tidak pernah berubah untuk mencapai kejayaan."

Baginda juga berharap rakyat Malaysia dapat sentiasa berusaha mengekalkan perpaduan di negara ini, dan bagi umat Islam turut menghayati tema sambutan Ma'al Hijrah tahun ini iaitu "1Malaysia, 1Ummah."

Seri Paduka turut menyarankan semua pihak, terutama agensi kerajaan dan sektor swasta supaya meningkatkan lagi program penghayatan nilai berteraskan tuntutan agama bagi melahirkan modal insan berintegriti tinggi. - BERNAMA

Artikel Lain