suria

Semua Perhatian Tertumpu Pada Pilihan Raya

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud tersenyum lebar ketika beliau memasuki Dewan San Choon untuk menghadiri Konvensyen Barisan Nasional 2010 di Wisma MCA di sini, Ahad.

Sepanjang upacara pembukaan, beliau tersenyum lebar semasa beliau mendengar ucaptama Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak, dengan tema 'Mengukuh Barisan Mendahulu Rakyat'.

Sesetengah pemerhati politik berkata mereka belum pernah melihat Taib senyum begitu lebar seolah-olah beliau tahu - selain fokus terhadap ucapan Najib - sorotan perhatian adalah terhadap dirinya.

Ramai tertanya-tanya bila dewan Negeri Sarawak akan dibubarkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri selepas Taib baru-baru ini mengakui bahawa beliau telah mendapat "ilham" mengenai tarikhnya.

Oleh kerana pilihan raya negeri perlu diadakan sebelum Julai tahun depan, cakap-cakap di kalangan orang dalam ialah tentang kemungkinan pilihan raya umum dan pilihan raya negeri Sarawak diadakan serentak sebagaimana dibayangkan oleh puak Taib.

"Segalanya terpulang pada Perdana Menteri sekarang. Bagi kami, kami lebih suka pilihan raya negeri dan umum diadakan serentak," kata orang dalam di sini.

Sama ada ia akan diadakan serentak atau berasingan, bagi pemimpin BN Sarawak, ucapan Najib hari ini satu petanda baik buat mereka dalam pilihan raya negeri akan datang oleh kerana ia mengulangi jaminan semangat BN di kalangan pemimpin, anggota dan penyokong parti.

"Beliau telah menyatakan dengan jelas kerelevanan BN...bahawa bukan pilihan antara BN atau parti pembangkang.

"Beliau menggariskan perbezaan besar antara BN dengan parti pembangkang dan mengapa rakyat harus sedar bahawa pembangkang sebenarnya tidak berupaya," kata anggota majlis tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Alex Nanta Linggi.

Alex Nanta, yang juga anggota parlimen Kapit, berkata beliau gembira Najib telah menyampaikan ucapan yang cukup meyakinkan yang beliau sifatkan "memberi nafas baru" bila Najib secara terbuka mengingatkan pemimpin BN tentang empat penyakit iaitu khayal, lupa diri, jumud dan angkuh.

Ketua Pemuda PBB Fadillah Yusof berkata tidak ragu lagi bahawa "isyarat pilihan raya cukup jelas" dan tidak memeranjatkan jika pilihan raya umum dan pilihan raya negeri diadakan serentak.

"Bagi saya, kini hanya soal masa. Isyarat yang cukup meyakinkan," kata beliau.

Sesetengah pemimpin juga percaya bila Perdana Menteri mengingatkan semua pemimpin BN mempertahankan Putrajaya dari mereka yang gila kuasa, ia satu lagi petunjuk bahawa beliau sedang memikir mengadakan pilihan raya umum dan kemungkinan diadakan serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak tidak harus diketepikan.

"Sesiapa yang masih tidur, mesti bangun. Ia merupakan ucapan yang amat tegas, padat dan menunjukkan bahawa BN siap sedia bertarung dalam satu pertempuran yang amat penting," kata Penolong Setiausaha Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP)Datuk Richard Riot, yang juga timbalan menteri luar.

Bagaimanapun, sebelum BN dapat menghadapi sebarang pilihan raya, pemimpin-pemimpin BN perlu fokus kepada pembinaan imej terutama terhadap "empat penyakit" yang disebut Najib dan pada tempoh pasca konvensyen tentang bagaimana perwakilan dapat menyampaikan mesej ke akar umbi.

"Bagaimana mereka hendak memperkukuh semula hubungan dan menyelaras semua parti komponen agar wujud rasa tanggungjawab bersama.

"Bagaimana untuk keluar dari zon selesa dan bagaimana mereka harus meletakkan diri berasaskan satu matlamat bagi membina semula sokongan, itu yang penting," kata penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Sivamurugan Pandian.

Beliau berkata sama ada pilihan raya umum dan pilihan raya Sarawak diadakan serentak, banyak bergantung pada sama ada mereka sudah sedia menghadapi pilihan raya.

Pengulas politik Datuk Dr Denison Jayasooria berkata, tanggapan di kalangan parti-parti politik ialah Najib mempunyai rasa keyakinan yang mendalam dan amat jelas dalam mengemukakan strateginya untuk pilihan raya umum akan datang.

Katanya, tidak jadi masalah jika Najib hendak mengadakan pilihan raya pada bila-bila masa.

"Apa yang perlu dilakukan setiap parti komponen sekarang ialah menghasilkan strategi tindakan. Lebih fokus kepada 1Malaysia. Dalam masa tiga hingga enam bulan, sebaik saja dapat pastikan Kemeja Biru (warna BN) benar-benar jelas pada latar, mereka boleh mengadakan pilihan raya untuk menawan hati rakyat," kata beliau.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Zeti Tokoh Ma'al Hijrah 1432

Artikel Berikut

Artikel Lain