suria

Peniaga Maut Rempuh Kereta Trak Penunda

IPOH: Seorang peniaga terbunuh selepas kereta yang dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah trak penunda di Jalan Simpang Pulai-Lahat dekat sini awal hari ini.

Ketua Polis Trafik Daerah Ipoh, Deputi Supritendan (DSP) Mohd Rodzi Rejab berkata, mangsa yang terbunuh dalam kejadian pada pukul 1.45 pagi tadi itu ialah Koo Fook Kong, 54, dari Taman Chandan Desa, Simpang Pulai.

Mangsa yang mengalami cedera parah di kepala dan badan meninggal di tempat kejadian dan mayatnya di hantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Rodzi berkata pemandu trak tersebut K. Ganison, 20, dari Buntung di sini hanya cedera ringan dan dirawat di sebuah hospital swasta di sini.

Beliau berkata kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu Koo dalam perjalanan dari arah Lahat ke Simpang Pulai dikatakan gagal di kawal lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan trak penunda itu. Koo mati serta merta dengan keadaan tersepit di dalam keretanya yang remuk dan mayatnya terpaksa dikeluarkan oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Dalam satu kejadian lain semalam, seorang remaja Mohd Izuan Ibrahim, 19, terbunuh selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Kampung Aji, Bota Kiri.

Mangsa yang mengalami cedera parah di kepala meninggal di tempat kejadian dan mayatnya di hantar ke Hospital Changat Melintang.

Kejadian berlaku pada pukul 5.30 petang apabila motosikal yang ditunggang Mohd Izuan gagal dikawal lalu merempuh kereta itu yang datang dari arah bertentangan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zeti Tokoh Ma'al Hijrah 1432

Artikel Berikut

Artikel Lain