suria

Pengedar Dadah Myanmar Ditembak Mati Di Kawasan Pasar Borong Jinjang

KUALA LUMPUR: Seorang warga Myanmar dipercayai pengedar dadah mati ditembak polis di sebuah rumah di kawasan Pasar Borong Jinjang pada pukul 4 pagi Isnin.

Suspek yang berumur 38 tahun itu telah melepaskan tembakan kepada polis ketika melihat polis menuju ke rumah itu di tingkat tiga sebuah rumah kedai dan menyembunyikan diri di dalam rumah itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah berkata polis terpaksa memecahkan pintu rumah tersebut dan sebaik memasukinya suspek telah melawan anggota polis, menyebabkan polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan yang mengenai kepala serta badannya.

Suspek mati di tempat kejadian, katanya kepada pemberita di pejabatnya, Isnin.

Zulkifli berkata polis percaya beberapa lagi rakan suspek dapat melepaskan diri melalui siling rumah tersebut.

Polis menemui 450 gram heroin, 21 gram ketamin bernilai RM25,000 serta sebilah parang berukuran 80 sentimeter dan pistol jenis Whelter, satu kelongsong peluru serta empat peluru hidup.

Katanya maklumat awal mendapati suspek yang sudah menetap di sini sejak tiga tahun lepas dipercayai menjadi pengedar dadah untuk warga asing di sekitar pasar borong tersebut.

"Suspek yang pernah ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah Langkah Pencegahan Khas) pada tahun 2008 dan dibebaskan setahun kemudiannya dipercayai sudah dua tiga bulan menjalankan kegiatan ini," kata Zulkifli. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zeti Tokoh Ma'al Hijrah 1432

Artikel Berikut

Artikel Lain