suria

Pegawai Dan Anggota Pentadbiran Perlu Ada Kerjasama Bersifat Seamless

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak mahu hubungan antara pegawai dan anggota pentadbiran mempunyai hubungan kerjasama yang bersifat tidak berkelim atau 'seamless' dalam usaha negara memperoleh kejayaan yang jauh lebih besar dan luar biasa.

Perdana Menteri berkata jika ada kerjasama bersifat seamless pada peringkat idea, perancangan dan pelaksanaan, keberhasilan sesuatu program itu akan mencapai tahap yang seoptima mungkin.

Katanya begitu juga dengan berani berfikir di luar kotak dan membuat penyelesaian secara kreatif, yang akhirnya akan menguntungkan negara.

"Berlaku satu perkembangan mutakhir yang sangat saya kagumi, iaitu apabila telah wujud satu bentuk kerjasama yang selama ini sukar untuk difikir tetapi boleh dicapai, iaitu kerjasama terbaru di antara Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia dan di antara Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri.

"Seperti yang sedia maklum, polis dan tentera merupakan dua institusi yang amat berbeza, tetapi apa yang menariknya, dengan kerjasama Ketua Setiausaha Negara, para pegawai tertinggi kedua-dua agensi dan menteri berkenaan, maka telah berlaku satu bentuk kerjasama yang amat luar biasa," katanya pada majlis Makan Malam Tahunan Persatuan Pegawai Tadbir Diplomatik (PPTD) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Ahad.

Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Yang diPertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaacob dan isteri Toh Puan Zurina Kassim serta bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Najib berkata antaranya pihak polis telah bersetuju menyerahkan tugas kawalan sempadan negara kepada tentera darat dan anggota PGA ditempatkan sebagai anggota polis untuk menjalankan tugas memerangi jenayah di kawasan yang dikatakan 'titik panas'.

"Ini merupakan satu bentuk kerjasama yang tidak mungkin dapat dilakukan jika kedua-dua agensi itu mempertahankan silo atau turf masing-masing.

Najib berkata begitu juga pihak tentera darat bersetuju sebahagian daripada aset pusat latihannya dibenarkan untuk pihak polis melatih angggota mereka.

"Ini mungkin juga sesuatu yang sukar dibayangkan kerana jika sesuatu tempat itu milik tentera darat, tak mungkin pihak polis boleh menggunakannya.

"Tetapi mulai tahun hadapan, perkara ini berubah dan dengan langkah ini, polis akan dapat mencapai sasaran mereka dengan lebih awal daripada apa yang dimatlamatkan.

"Saya sebut ini, sebagai perkembangan yang amat menarik, dan butirannya akan diumumkan dalam sedikit masa lagi," katanya.

Beliau berkata dengan contoh sedemikian, satu pendekatan kerjasama yang bersifat seamless akan dapat diwujudkan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zeti Tokoh Ma'al Hijrah 1432

Artikel Berikut

Artikel Lain