suria

Palanivel Ambil Alih MIC, Umum Perancangan Beberapa Hari Lagi

KUALA LUMPUR: Daripada seorang pensyarah, pegawai penyelidik di sebuah muzium, aktivis pengguna dan wartawan, Datuk G.Palanivel, bekas Setiausaha Akhbar Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu, hari ini mengambil alih kepimpinan parti itu menggantikan ketua dan mentor beliau.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang berusia 61 tahun itu, dinamakan sebagai Presiden kelapan parti, menggantikan Samy Vellu yang menyandang jawatan itu selama 31 tahun pada Isnin.

Bekas Editor Berita Bernama itu menyuarakan kegembiraan dan penghargaan terhadap Samy Vellu kerana peralihan kuasa yang lancar.

Palanivel berkata proses penyerahan kuasa dilaksanakan dengan baik oleh Samy Vellu memandangkan tiada kedengaran suara bantahan atau ketidakpuasan hati semasa berlangsung mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) yang mengesahkan peralihan kuasa itu.

"Peralihan berjalan lancar... saya amat gembira dengan cara Datuk Seri mengendalikannya," katanya pada sidang media yang penuh sesak selepas mesyuarat CWC itu.

Ketika Palanivel dilantik sebagai Presiden MIC yang baru, Naib Presiden parti dan Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam turut dilantik sebagai Timbalan Presiden, Isnin.

Ia merupakan perpisahan yang begitu menyentuh perasaan buat Samy Vellu memandangkan beberapa anggota CWC secara terbuka menitiskan air mata, namun Presiden MIC yang mengundur diri itu tetap tenang sepanjang sidang akhbar berlangsung. Ditanya mengenai perancangan segera beliau bagi parti itu, Palanivel enggan mengulas, sekadar berkata perkara itu akan diumumkan dalam beberapa hari lagi.

"Saya akan melaksanakan tanggungjawab saya dengan menjadikan beliau (Samy Vellu) sebagai contoh ikutan... bagaimanapun saya agak berbeza, beliau seorang 'lelaki besi'. Saya akan bergerak dengan sabar dan perlahan mengikut cara saya sendiri," katanya.

Palanivel mengakui bahawa gaya kepimpinan beliau tidak akan sama dengan mentornya. "Kami berbeza namun kami akan bekerja bersama-sama sebagai satu tenaga untuk memperkukuhkan parti," katanya.

Dilahirkan pada 1 Mac, 1949, Palanivel mendapat pendidikan tinggi di Universiti Malaya dengan memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera pada 1972.

Beliau kemudiannya bertugas sebagai pensyarah Ekonomi dan Sejarah di Maktab Kadir Adabi di Kuantan sebelum menjadi Pengarah Eksekutif Persatuan Pengguna-pengguna Pulau Pinang.

Beliau turut bertugas sebagai pegawai penyelidik di Muzium Negara (Projek Lembah Bujang) sebelum menyertai Bernama pada April 1977 dan dilantik sebagai Editor Berita Meja Ekonomi pada 1984.

Penglibatan Palanivel dalam arena politik bermula pada 1987 apabila beliau dilantik sebagai Setiausaha Akhbar Samy Vellu.

Pada pilihan raya umum 1990, Palanivel bertanding dan memenangi kerusi Parlimen Hulu Selangor yang disandangnya sehinggalah beliau tewas dalam pilihan raya umum 2008.

Beliau mengangkat sumpah sebagai Senator pada Mei, 2010. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zeti Tokoh Ma'al Hijrah 1432

Artikel Berikut

Artikel Lain