suria

Konvensyen BN Perlu Diadakan Lebih Kerap, Kata Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR: Konvensyen Barisan Nasional (BN) perlu diadakan dengan lebih kerap bagi memastikan ikatan dan semangat antara parti komponen BN dapat terus diperkukuhkan, kata Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan.

Katanya beliau merasakan hasrat untuk mengadakan konvensyen lebih kerap adalah tepat selepas melihat bagaimana Konvensyen BN semalam memberikan suntikan baru dan semangat yang begitu hebat di kalangan pimpinan 13 parti komponen BN.

"Saya setuju jika konvensyen ini dapat diadakan di setiap negeri dan dengan lebih kerap lagi, mungkin dua atau tiga tahun sekali supaya semangat BN itu dapat dikumpul dalam satu konvensyen," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Kad Sahabat Iktiraf di sini, Isnin.

Turut hadir ialah Pengarah Besar Felda Datuk Dzulkifli Ab. Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd Datuk Sabri Ahmad dan Pengarah Seranta (Felda) Jabatan Perdana Menteri Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid.

Beliau berkata konvensyen yang mengumpulkan semua parti komponen BN itu juga penting bagi membolehkan semua pimpinan parti menyuarakan cadangan dan pandangan ke arah membawa BN ke peringkat yang lebih tinggi.

Merujuk kepada MoU yang ditandatangani antara Seranta (Felda) dengan Felda D'Saji, Felda Travel Sdn Bhd dan Nilai Education Kolej Sdn Bhd hari ini, Ahmad berkata ia akan membolehkan warga Felda yang memegang kad Sahabat Iktiraf menikmati pelbagai faedah yang ditawar syarikat-syarikat Felda terbabit.

Antaranya termasuk menikmati 10 peratus potongan harga bagi sajian di Felda Villa, Kuala Lumpur, 10 peratus potongan harga untuk bilik penginapan di semua pusat peranginan milik Felda dan 15 peratus potongan ke atas yuran pengajian di Nilai Universiti Kolej.

Sementara itu beliau berkata penganjuran karnival Iktiraf 2010 yang dijadualkan dari Jumaat hingga Ahad ini di Medan Pancarona, Putrajaya, akan menjadi platform kepada warga peneroka dalam memperkukuh ukhuwah yang selama ini menjadi teras utama pembangunan Felda.

Katanya karnival yang akan memuatkan pelbagai aktiviti seperti pameran serta jualan itu juga merupakan medium bagi Felda untuk menyampai maklumat secara bersemuka kepada warga Felda dan orang ramai.

Felda menjangka lebih 50,000 pengunjung dari sekitar Lembah Klang akan hadir memeriahkan karnival itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zeti Tokoh Ma'al Hijrah 1432

Artikel Berikut

Artikel Lain