suria

Khir Toyo Bersih Nama Melalui Bicara

SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo merasa ‘lega’ didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, kerana menyifatkan ia sebagai platform untuk beliau membersihkan nama daripada tuduhan yang dilemparkan oleh salah seorang ahli politik.

Mohamad Khir menambah, tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat membersihkan namanya selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekincan, Ng Suee Lim mengeluarkan keyataan bahawa rumah yang menjadi subjek dalam pertuduhan tersebut dibelinya pada harga RM24 juta.

Walhal, menurut Mohamad Khir, rumah itu dibeli daripada pemilik asalnya pada harga RM3.5 juta.

"Proses pembelian juga mengikut semua peraturan dan syarat-syarat perbankan. Saya percaya undang-undang akan membersihkan nama saya,” kata Ketua Pembangkang Selangor itu.

Selain itu, Mohamad Khir yang juga ADUN Sungai Besar juga menaruh keyakinan penuh terhadap sistem perundangan negara untuk membersihkan diri daripada dakyah pembangkang.

Mohamad Khir yang diasak oleh pihak wartawan di pekarangan mahkamah sebaik sahaja menjelaskan jaminan bagaimanapun enggan mengulas sekiranya wujud motif politik di sebalik pendakwaan itu.

Beliau hanya menyatakan tidak menolak kemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Ng sekiranya mahkamah memutuskan dakwaan oleh ahli politik DAP itu tidak benar.

Ng menerusi kenyataannya kepada portal berita pada 6 Julai 2009 mendakwa, rumah mewah tersebut adalah melebihi daripada kemampuan Mohamad Khir sebagai Menteri Besar Selangor yang ketika membeli rumah tersebut masih menjawat jawatan itu (selama lapan bulan sebelum Selangor dirampas oleh Pakatan Rakyat pada 2008).

Ng yang semasa itu merujuk kepada dokumen daripada Pejabat Tanah dan Galian Selangor mendakwa, tanah tersebut dibeli secara bersama oleh Mohamad Khir dan isteri, Datin Seri Zahrah Kechik.

Pada Isnin, Mohamad Khir Toyo, 45, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mendapatkan untuk dirinya dan isteri dua lot tanah dan sebuah rumah pada harga yang jauh lebih rendah daripada nilai pasaran.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan semasa beliau menjawat jawatan tertinggi di Selangor itu pada 29 Mei 2007 di kediaman rasmi Menteri Besar di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, di sini.

Hartanah tersebut terletak di nombor 8 dan 10, Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7, dan Mohamad Khir didakwa membeli hartanah tersebut pada harga RM3.5 juta menerusi Pengarah Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Hayroni, 52.

Ditamas didakwa membeli hartanah tersebut pada 23 Disember 2004 pada harga RM6.5 juta.

Turut didakwa ialah Shamsuddin bagi pertuduhan bersubahat dengan Mohamad Khir untuk melakukan kesalahan tersebut.

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh membenarkan kedua-dua mereka dibebaskan dengan jaminan RM750,000 dengan seorang penjamin untuk setiap seorang.

Mengenai jumlah jaminan yang tinggi itu, Mohamad Khir yang menjelaskan urusan jaminan pada pukul 3.15 petang berkata, jumlahnya terlalu besar.

"Saya perlu meminjam daripada orang lain (menjelaskan jaminan)," katanya.

Artikel Sebelum

Zeti Tokoh Ma'al Hijrah 1432

Artikel Berikut

Artikel Lain