suria

Kerajaan Pantau Kemasukan Wang Panas, Kata Najib

PUTRAJAYA: Kerajaan sedang memantau pengaliran masuk wang panas ke rantau ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau berkata Bank Negara Malaysia khususnya sedang memantau keadaan ini manakala kerajaan-kerajaan lain di rantau ini turut berbuat demikian.

"Kita sedang memantau (keadaan ini). Pengaliran masuk wang panas belum sampai ke tahap yang mencemaskan," kata Najib, yang juga Menteri Kewangan, kepada pemberita selepas melancarkan Talent Corporation di sini Isnin.

Najib ditanya tentang jumlah dana pelaburan besar yang ingin mendapatkan pulangan lebih tinggi di rantau ini, yang boleh menjejaskan kestabilan ekonomi.

Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) Ben Bernanke, baru-baru ini berkata ia boleh memperluas program untuk membeli sekuriti Perbendaharaan bernilai US$600 bilion hingga melebihi sasaran awal yang diumumkan sebulan lalu.

Kenyataan itu dibuat selepas pengumuman laporan pekerjaan AS yang lebih lemah daripada dijangkakan, pada Jumaat.

Bank-bank menjangkakan gelembung aset menjadi bertambah buruk lagi jika AS gagal menyalurkan lebihan mudah tunai kepada guna tenaga sebenar.

Sebelumnya, Najib mengumumkan inisiatif dasar baharu bagi mengatasi keperluan bakat bertaraf dunia sejajar dengan transformasi ekonomi Malaysia.

Beliau berkata pelajar-pelajar terpilih di bawah program biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam boleh memenuhi perjanjian ikatan perkhidmatan dengan lebih banyak organisasi termasuk syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat-syarikat swasta di negara ini. Mekanisme terperinci akan disediakan oleh kerajaan tahun depan, kata Perdana Menteri. Sementara itu, satu pas penduduk akan diperkenal bagi pegawai dagang yang berkelayakan tinggi dan rakyat Malaysia yang tidak tidak lagi bertaraf warga negara tetapi ingin tinggal dan bekerja di Malaysia.

Najib berkata Jabatan Imigresen dijangka melaksanakan inisiatif baru ini menjelang pertengahan tahun depan manakala syarat-syarat pas penggajian akan dilonggarkan. Syarat 'understudy', keperluan mengiklan jawatan eksekutif dan had 10 tahun bagi pegawai eksekutif dagang akan juga dimansuhkan.

Perubahan-perubahan ini akan berkuatkuasa tahun depan, kata Najib. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zeti Tokoh Ma'al Hijrah 1432

Artikel Berikut

Artikel Lain