suria

Jawatankuasa Infeksi Kebangsaan Sentiasa Pantau 'Superbug'

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Infeksi Kebangsaan sentiasa memantau penularan 'superbug', yakni bakteria yang dikenalpasti kebal terhadap semua jenis antiboiotik yang mula dikesan di luar negara pada 2008, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Hasan Abdul Rahman.

Beliau berkata jawatankuasa yang dipengerusikan sendiri oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican itu bertugas menghebahkan setiap maklumat berkaitan bakteria tersebut, termasuk dari negara luar, kepada orang ramai secepat mungkin.

"Dengan Bahagian Farmasi kementerian sebagai urusetia, antara agenda jawatankuasa tersebut itu ialah untuk membincangkan aspek mengenai penggunaan antibiotik dan keupayaannya untuk melawan bakteria itu," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Beliau berkata orang ramai bagaimanapun perlu mengambil langkah pencegahan lebih awal, iaitu dengan menghabiskan antibiotik yang diberikan oleh doktor bagi menangani sakit tertentu, kerana jika tidak, ia boleh mengundang 'superbug'.

Kes 'superbug' pertama dikesan di Malaysia bulan lalu pada seorang wanita berusia 24 tahun, namun rakyat Malaysia diminta tidak panik kerana pesakit itu merupakan satu-satunya pembawa dan dia sembuh selepas menerima rawatan hospital. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zeti Tokoh Ma'al Hijrah 1432

Artikel Berikut

Artikel Lain