Chin Peng Gagal Dalam Usaha Hidupkan Semula Saman - Semasa | mStar

Chin Peng Gagal Dalam Usaha Hidupkan Semula Saman

PUTRAJAYA: Bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng dan anggota parti itu gagal dalam permohonan untuk menghidupkan semula saman sivil terhadap kerajaan Malaysia.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff yang mengetuai kuorum tiga hakim Mahkamah Persekutuan mengenepikan penangguhan bagi membenarkan mereka merayu kepada mahkamah paling tinggi itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman mereka.

Alauddin berkata mahkamah sebulat suara memutuskan bahawa perkara yang dibangkitkan oleh pemohon (Chin Peng) untuk diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan tidak menepati keperluan di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (CJA) untuk membolehkan mahkamah membenarkan permohonan itu. Seksyen 96 menetapkan bahawa penangguhan akan dibenarkan sekiranya isu yang perlu diputuskan Mahkamah Persekutuan itu membabitkan perkara baru dan memiliki aspek kepentingan awam.

Kuorum mengenepikan permohonan oleh Chin Peng dan mengarahkan beliau serta anggota PKM untuk membayar kos guaman RM10,000.

Dua hakim lain ialah Datuk Hashim Yusoff dan Datuk Heliliah Yusof.

Chin Peng atau nama sebenarnya, Ong Boon Hua dari Sitiawan menfailkan saman bagi pihak dirinya dan anggota PKM menuntut gantirugi di samping menuntut kerajaan Malaysia atau ejennya supaya berhenti daripada membuat kenyataan berbaur fitnah mengenai mereka.

Saman itu dikemukakan berikutan laporan media pada 21 Mac dan 6 Mei, 2005, mengenai pengumuman Timbalan Menteri Penerangan ketika itu, Datuk Zainuddin Maidin bahawa RTM akan menyiarkan dokumentari mengenai kekejaman penganas komunis selepas Perang Dunia Kedua dan selama sedekad selepas kemerdekaan Malaysia. Mereka juga menuntut perisytiharan bahawa perjanjian bertarikh 1989 yang ditandatangani di Haadyai, Thailand, antara pemimpin-pemimpin PKM dan pegawai pegawai kanan kerajaan yang mewakili adalah sah, dan di bawah perjanjian itu sebarang kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh kedua-dua pihak tidak harus mengandungi perkataan berbaur fitnah.

Mereka mendakwa kerajaan Malaysia melanggar terma dan semangat perjanjian itu. Pada 30 September tahun lepas Mahkamah Tinggi mengenepikan saman itu, dan pada 27 Julai lepas Mahkamah Rayuan menolak rayuan Chin Peng dan menetapkan bahawa kerajaan Malaysia tidak melanggar perjanjian yang ditandatanganinya dengan Chin Peng pada 1989.

Dalam pembelaannya kerajaan berkata berdasarkan sejarah dan pengetahuan umum, reputasi Chin Peng dan lain-lain anggota PKM sudah tercemar di mata masyarakat sejak sekian lama. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

default image

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

Artikel Lain