suria

Polis Tahan Wanita Dan Lelaki Bantu Kes Peniaga Mati Dibakar

IPOH: Polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh seorang peniaga yang ditemui rentung dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda di kawasan Perindustrian Ringan Kinta Jaya, Kampung Rapat, Khamis lepas.

Ketua Jabatan Sisatan Jenayah Negeri Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata mereka ditahan pada pukul 6.30 petang semalam di sebuah rumah di Kampung Tersusun Sengat, Simpang Pulai.

Wanita yang ditahan itu berusia 31 tahun, merupakan isteri mangsa manakala suspek lelaki pula berumur 29 tahun dan tinggal bersama keluarga mangsa, katanya ketika dihubungi Ahad.

Dzuraidi berkata mereka direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian pada Khamis lepas, seorang lelaki ditemui rentung dalam kenderaan yang terbakar di lorong belakang sebuah kilang di kawasan Perindustrian Ringan Kinta Jaya, Kampung Rapat kira-kira 1.15 pagi.

Mangsa S.Jegadeson, 34, dari Taman Botani di sini ditemui rentung di tempat duduk belakang kenderaan itu oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat selepas kebakaran dipadamkan.

Dia dipercayai dibakar hidup-hidup dan ketika ditemui mulutnya ditutup dengan pita pelekat.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain