suria

Piagam Baru BN Berteraskan 1Malaysia Dilancarkan

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) hari ini melancarkan piagam baru berteraskan gagasan 1Malaysia yang antara lain memaparkan keazaman untuk memberi penekanan kepada usaha mempereratkan lagi hubungan antara kaum, Ahad.

Piagam itu yang dilancarkan di akhir konvensyen sehari BN di Wisma MCA di sini turut memberi penekanan kepada usaha mencegah dan menentang segala bentuk ekstremisme dan rasisme demi memupuk perpaduan bagi sebuah masyarakat majmuk berteraskan gagasan IMalaysia.

Piagam BN itu dibacakan oleh Setiausaha Eksekutif BN Datuk Abu Khamis sambil diikuti oleh 2,340 perwakilan, sebelum piagam itu diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN untuk ditandatangani.

Piagam berteraskan tujuh perkara itu turut memberi penekanan untuk menjunjung keluruhan Perlembagaan dan kedaulatan Undang-undang, menghormati hak dan keistimewaan setiap rakyat sebagai warganegara, mengiktiraf kesaksamaan rakyat di sisi undang-undang, menjamin kebebasan sebuah masyarakat yang aman, stabil, makmur dan selamat.

Selain itu, piagam BN turut menekan usaha memajukan ekonomi negara melalui peningkatan daya saing, di samping memberi komitmen terhadap pembahagian ekonomi yang adil dan mengekalkan kelestarian alam sekitar, menggalak penyertaan semua kaum dalam setiap bidang ekonomi dengan seimbang demi memastikan nikmat kemakmuran dan kekayaan negara dapat dikecapi bersama.

Prinsip piagam keempat juga memaparkan ikrar BN untuk menjamin pendidikan berkualiti untuk semua, memperkasakan pembudayaan ilmu pengetahuan sebagai asas pembentukan modal insan yang berketerampilan serta memastikan pendidikan kebangsaan menjadi wahana utama pembentukan insan yang mulia demi pengukuhan nasional.

BN turut berikrar untuk meneruskan tradisi membela rakyat dengan mengutamakan pembangunan ekonomi dan kebajikan sosial, peningkatan infrastruktur asas yang menyeluruh, serta menjadikan peningkatan kualiti hidup rakyat sebagai penanda aras utama pretasi kerajaan BN.

Piagam BN itu turut menekankan perlunya untuk memantapkan institusi keluarga, menggalakkan penyertaan wanita, belia, orang kurang upaya dan isi rumah secara berkesan dalam pembangunan muda dan masyarakat sivil sebagai rakan utama dalam pembinaan negara.

Prinsip ketujuh piagam BN menyaksikan BN berikrar untuk mendukung prinsip tadbir urus yang baik dan menolak amalan rasuah, menyokong dan membantu meningkatkan integriti dan kecekapan agensi kerajaan, dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan menghayati konsep "Rakyat Didahulukan" sebagai asas pewujudan kerajaan yang mengutamakan pencapaian dalam memenuhi keperluan dan harapan rakyat.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain