suria

RM4.8 Bilion Untuk Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM4.8 bilion akan digunakan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KPLW) bagi mempertingkatkan taraf hidup rakyat khususnya di luar bandar, kata Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Ibrahim Muhamad.

Beliau berkata peruntukan itu akan digunakan bagi penambahbaikan sistem jalan raya, program bantu rumah, pengurusan sumber air dan elektrik.

"Peruntukan wang yang diterima oleh kementerian akan digunakan sebaik mungkin dalam usaha menambah baik taraf kehidupan rakyat," katanya kepada pemberita pada majlis makan malam "Jasamu Dikenang" kementerian itu di sini malam ini.

Ibrahim berkata usaha berterusan perlu dilakukan agar hasrat kerajaan untuk mencapai ekonomi berpendapatan tinggi di kalangan rakyat dapat dicapai menjelang 2020.

Menurutnya antara usaha yang sedang dilaksanakan semenjak enam bulan lepas adalah penubuhan Konsortium Sinergi Perdana Sdn Bhd yang menggabungkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Negara (Felcra) bagi mempertingkatkan tahap pertanian di negara ini.

Majlis makan malam yang turut dihadiri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan isteri Datin Seri Shuryani Shuaib adalah bagi meraikan bekas Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Abdul Jabar Che Nai yang bersara wajib. - BERNAMA

Artikel Lain