suria

Rang Undang-undang Perubatan Tradisional Dibentang Di Parlimen Awal Tahun Depan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan sedang memuktamadkan Rang Undang-undang mengenai Perubatan Sokongan Tradisional (PST) yang dijangka dibentangkan di Parlimen awal tahun depan.

Menteri berkenaan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kini ia di peringkat pengumpulan input dan pandangan daripada pelbagai pihak berhubung perkara itu.

"Kami sepatutnya menyiapkannya (Rang Undang-undang) tahun ini, tapi masih mendapatkan pandangan daripada Majlis PST, pertubuhan dan pengamal mengenai perkara berkaitan hukuman dan pendaftaran," katanya.

Liow berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar dan Bengkel Perubatan dan Kiropraktik Cina 2010 dan Pusat Penjagaan Kesihatan Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) di sini, Sabtu.

Katanya ada pengamal bimbang kerajaan akan mengenakan kawalan terhadap pengamal penggunaan rawatan tradisional apabila peraturan itu dilaksanakan kelak.

Beliau berkata Majlis PST dianggotai pengamal perubatan tradisional dan telah mendaftarkan kira-kira 10,000 pengamal dari seluruh negara.

Katanya Malaysia bekerjasama dengan China daripada segi latihan dan rawatan serta penyelidikan dan pembangunan dalam bidang perubatan tradisional.

Kata Liow enam kolej dan universiti swasta di negara ini menawarkan program perubatan tradisional dan sokongan.

Mereka ialah Kolej Perubatan Sokongan di Melaka, INTI International University College (Nilai, Negeri Sembilan), Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya (Cyberjaya), Universiti Pengurusan dan Sains (Shah Alam, Selangor), Universiti Perubatan Antarabangsa (Bukit Jalil, Kuala Lumpur) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (Kampar, Perak).

Terdahulu, dalam ucapannya, Liow berkata dua lagi unit PST akan disiapkan sebelum akhir tahun ini iaitu di Hospital Port Dickson dan Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

"Tahun depan, kami akan memperluaskan konsep hospital bersepadu ke lebih banyak hospital, termasuk ke Hospital Sultanah Hajah Kalsom, Cameron Highlands dan Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Baharu," kata Liow.

Beliau berkata kini terdapat enam hospital bersepadu di Malaysia - di Kepala Batas, Putrajaya, Pandan Mewah (Kuala Lumpur), Kuala Terengganu, Sandakan dan Kuching.

Seminar tersebut memberi fokus terhadap kesihatan holistik pesakit, di samping penyediaan konsep bersepadu dalam bidang penjagaan kesihatan yang menggabungkan perubatan barat dan tradisional serta perubatan sokongan di bawah satu bumbung.

Seminar dua hari itu mempertemukan penceramah dari Malaysia, China dan Australia untuk memperkatakan tentang idea, maklumat dan pengetahuan terkini dalam bidang perubatan sokongan dan tradisional. - BERNAMA

Artikel Lain