suria

Pro-Canselor UiTM Saran Sumbangan Bulanan RM10 Dari Setiap Siswazahnya

SHAH ALAM: Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tan Sri Arshad Ayub pada Sabtu menyarankan sumbangan bulanan RM10 dari tiap seorang daripada lebih 400,000 siswazah yang telah dilahirkan oleh universiti itu setakat ini bagi mengurangkan pergantungannya pada bajet kerajaan.

Ketika membuat saranan itu, Arshad merayu kepada siswazah UiTM agar mula membuat sumbangan token "membalas jasa" kepada tempat pengajian mereka agar ia dapat memperkenalkan lebih banyak program ijazah atau diploma, malahan membolehkan lebih ramai pelajar dari keluarga miskin melanjutkan pengajian di universiti itu.

"Jika setiap daripada anda dapat menghulurkan RM10 saja sebulan, ini bererti UiTM dapat mengumpulkan lebih RM40 juta setahun.

"Sekarang kita terpaksa memohon kepada kerajaan untuk segalanya bagi mengelola universiti," kata beliau dalam ucapannya di majlis konvokesyen ke-73 UiTM di sini. Sejumlah 881 pelajar menerima ijazah dan diploma kejuruteraan daripada Arshad pada majlis itu.

Arshad berkata: "Bagi perokok di kalangan alumni UiTM, RM10 bererti anda hanya kekurangan sekotak rokok sebulan. Ini masanya anda membalas budi kepada kerajaan atas segala yang telah dilakukan bagi membiayai pengajian anda".

Beliau berkata kerajaan menanggung kos RM1.5 bilion setahun bagi mengendali UiTM dan ini dijangka meningkat kepada RM1.6 bilion tahun depan.

Arshad, pengarah perintis universiti itu ketika ia masih dikenali sebagai Institut Teknologi Mara (ITM) sebelum ini, berkata UiTM amat bangga dengan kursus ijazah kejuruteraannya kerana ia mendapat pengiktirafan hingga di peringkat antarabangsa.

Beliau memberitahu siswazah itu bahawa mendapatkan ijazah dan diploma hanya permulaan dalam kehidupan pasca universiti dan cabaran sebenar adalah bagi mereka membuktikan nilai diri dalam pasaran kerja.

"Jangan berhenti belajar hanya kerana anda telah lulus. Belajar adalah proses sepanjang hayat dalam urusan setiap minit, setiap jam, dan setiap hari," ujarnya.

Arshad juga mengingatkan siswazah agar memberi keutamaan kepada menguasai bahasa Inggeris oleh kerana bahasa itu adalah kunci sebenar untuk menimba ilmu.

"Sepanjang anda menuntut di UiTM, menguasai Inggeris telah diberi penekanan. Saya terkilan jika anda telah tidak menggunakan masa anda dengan sebaik-baiknya untuk menguasai bahasa yang penting ini," kata beliau. - BERNAMA

Artikel Lain