suria

Persatuan Peniaga, Penaja Diminta Basmi Penjualan Lesen Kepada Warga Asing

KUALA LUMPUR: Persatuan peniaga dan penjaja diminta bekerjasama dengan kerajaan untuk mengatasi masalah penjualan lesen perniagaan kepada warga asing.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata penyalahgunaan lesen itu semakin berleluasa bukan sahaja di kalangan peniaga Melayu tetapi juga di kalangan peniaga Cina dan juga India di sekitar Kuala Lumpur.

"Bukan orang Melayu sahaja jual lesen ini kepada warga asing, malah peniaga Cina jualnya di Petaling Street dan peniaga India di Brickfields. Sudah menjadi kebudayaan 1Malaysia pula," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program bantuan pendidikan kepada golongan miskin di sini, Sabtu.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai isu penjualan lesen kepada warga asing di sekitar kawasan pasar di Jalan Raja Bot, Chow Kit.

Ditanya mengenai tindakan yang akan diambil oleh kerajaan terhadap kesalahan itu, beliau berkata ia masih dalam proses perbincangan.

Terdahulu, Raja Nong Chik menyampaikan bantuan kewangan dan peralatan sekolah kepada 250 murid berbilang kaum yang kurang berkemampuan dari sekitar Kuala Lumpur.

Setiap pelajar menerima wang tunai RM100 beserta beg sekolah dan alat-alat tulis bernilai RM50 bagi persediaan sesi persekolahan 2011.

Raja Nong Chik juga menyeru badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta untuk bersama-sama membantu gologan miskin di sekitar bandar raya ini bagi mempercepatkan lagi proses membina masyarakat penyayang demi kesejahteraan rakyat.

"Masih terdapat golongan berpendapatan rendah yang memerlukan bantuan di pusat bandar memandangkan taraf hidup yang tinggi. Apatah lagi di Kuala Lumpur ini terdapat banyak syarikat swasta yang mampu membantu," katanya.

Katanya bantuan khusus juga perlu diberikan kepada pelajar miskin sejak di Sekolah Rendah kerana kejayaan pada peringkat rendah lazimnya mencorakkan kejayaan mereka pada peringkat yang lebih tinggi. - BERNAMA

Artikel Lain