suria

Penjenayah Pecah Rumah Tumpas Di Tangan Wartawan

JOHOR BARU: Seorang lelaki dipercayai penjenayah pecah rumah profesional tumpas di tangan seorang wartawan selepas memecah masuk ke rumah wartawan itu awal pagi tadi.

Lelaki berusia 57 tahun itu diberkas polis apabila gagal melarikan diri selepas kereta Toyota Camry yang dipandunya mengalami kemalangan.

Dalam kejadian yang bermula kira-kira 2.30 pagi itu, lelaki tersebut telah memecah masuk ke rumah wartawan Harian Metro iaitu Ahmad Nazri Mohamad di Bandar Baru Uda dan melarikan barangan berharga.

"Saya sedang asyik melayari Internet dalam sebuah bilik di tingkat atas rumah saya apabila saya terdengar bunyi bising di tingkat bawah.

"Bila saya jenguk melalui tingkap, saya ternampak seorang lelaki membawa dua beg tangan warna hitam keluar dari kawasan pagar rumah saya dalam keadaan mencurigakan," kata Ahmad Nazri.

Beliau yang mengesyaki ada yang tidak kena kemudiannya turun dan mendapati lampu ruang tamu terpasang dan pintu dan jeriji gelongsor ternganga.

"Tanpa menunggu lama saya kemudian terus mengekori dan mengesan kereta suspek yang dihentikan di Jalan Padi Malinja 2 Bandar Baru Uda dan melihat dari jauh lelaki itu keluar dari kawasan sebuah rumah yang dipercayai cuba dipecah masuk," katanya.

Ahmad Nazri terus menghubungi polis memberi maklumat mengenai kenderaan yang dinaiki suspek.

Bagaikan seorang detektif, beliau terus mengekori penjenayah itu ke jalan utama hingga ke Jalan Pucung, Taman Perling, sebelum menghubungi pasukan polis peronda yang memberi maklum balas segera dengan bertanyakan kedudukan penjenayah terbabit.

Menyedari kehadiran kereta peronda polis, lelaki itu memecut laju keretanya sehingga melanggar lampu isyarat merah, sebelum melanggar kon pembinaan dan berpusing-pusing dalam kawasan taman perumahan itu.

Selepas dikejar selama setengah jam oleh lima anggota kereta peronda polis dan Ahmad Nazri sendiri, kereta lelaki itu mengalami kemalangan di Jalan Sungai Danga, dekat Taman Laguna selepas tayar depan sebelah kanannya pancit.

Dia mengalami kecederaan pada mukanya akibat kemalangan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Utara, ACP Ruslan Hassan mengesahkan kejadian dan semakan mendapati suspek mempunyai 11 rekod jenayah lampau membabitkan pecah rumah.

Polis menemui pelbagai peralatan disyaki digunakan untuk pecah rumah, dua telefon bimbit dan beberapa dompet wanita.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah dan suspek turut ditahan bagi siasatan kes tersebut serta beberapa lagi kejadian pecah rumah di Simpang Renggam, Segamat, Plentong, Kulai dan Johor Baharu.

Ahmad Nazri meminta kerjasama orang ramai yang menjumpai beg tangan berwarna hitam yang mengandungi pelbagai dokumen termasuk kad pengenalan bernombor 740221-08-5006 milik Syireen Ismail yang dipercayai dibuang oleh suspek, supaya memulangkannya kepada beliau dengan menghubungi talian 07-2381114 atau 07-2361223. - BERNAMA

Artikel Lain