PDRM Serah Suspek Militan Indonesia Kepada POLRI - Semasa | mStar

PDRM Serah Suspek Militan Indonesia Kepada POLRI

KUALA LUMPUR: Proses membawa pulang seorang suspek militan Indonesia, yang ditahan di negara ini ketika cuba menyeludup senjata api ke republik itu pada Oktober lepas, sedang diuruskan oleh Polis Diraja Malaysia.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata Fadzli Sadama, 27, yang ditahan di Johor ketika cuba menyeludup sejumlah senjata api yang dipercayai untuk kegunaan pengganas, kini ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Kita setuju untuk membawa tangkapan dari Malaysia ke negaranya untuk tindakan selanjutnya. Ini hanya masalah teknikal sahaja, jangan jadikan ia sebagai satu isu," katanya kepada pemberita selepas menandatangi Prosedur Tetap (PROTAP) Malindo No.15 antara PDRM dan Kepolisan Negara Republik Indonesia (POLRI) di Bukit Aman pada Jumaat.

Turut hadir Kepala Kepolisan Negara Republik Indonesia yang baru dilantik, Drs Timur Pradopo.

Ismail berkata suspek itu juga dipercayai terbabit kes rompakan bersenjata sebuah bank antarabangsa di Medan, Sumatera membabitkan RM139 juta.

Fadzli, yang ditahan berseorangan di negara ini, juga dikatakan mempunyai rancangan untuk menyerang sebuah penjara di republik itu bagi membebaskan rakan baiknya, Toni Togar, perancang utama pengeboman Hotel JW Marriot di Jakarta, tujuh tahun lalu.

Ismail berkata polis percaya pihak yang membantu daripada segi pembiayaan dan perlindungan kepada anggota militan tidak sedar atau mengetahui aktiviti mereka.

Beliau berkata PDRM juga sepakat menjalin kerjasama rapat dengan POLRI bagi menahan saki baki kumpulan militan itu jika masih ada yang bersembunyi di negara ini.

Ismail berkata kejayaan penahanan Fadzli merupakan usaha yang patut dibanggakan PDRM kerana dapat membongkar aktiviti keganasan warga asing.

"Dengan tertangkapnya tahanan ini, ia menunjukkan kita berjaya mengesan dan dapat tahu pergerakan dia pergi mana, di mana dia tinggal. Ini menunjukkan keupayaan kita untuk membantu antara satu sama lain," katanya.

Mengenai perjanjian itu, Ismail berkata ia bertujuan membolehkan PDRM dan POLRI menjalin kerjasama daripada segi penugasan di sempadan Sabah, Kalimantan, sempadan darat, dan perairan antara Malaysia dan Indonesia.

"Perjanjian yang termaktub ini akan membolehkan pegawai dan anggota polis negara ini menjalankan tugas secara koordinasi yang terbaik, dari segi komunikasi dan interaksi, demi mencapai objektif bersama iatu memastikan keamanan dan keselamatan dua negara ini," katanya.

PROTAP dibentuk sejak penubuhan Jawatankuasa Am Sempadan Malaysia (GBC) Malindo pada 1972 sesuai dengan keadaan ancaman ketika itu, iaitu ancaman komunisme dan jenayah tradisional.

Pada 18 Januari 2007, PDRM dan POLRI bersetuju untuk meminda PROTAP No.15 supaya lebih relevan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

NGO Minta Harga Minyak Dikaji Semula

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

default image

Carum Perkeso untuk dilindungi walau bekerja sendiri kerana malang tidak berbau!

MATLAMAT utama mengumpul duit dan trip perjalanan, tapi adakah pemandu pengangkutan awam menyedari ‘malang tidak berbau’ ketika bekerja?

default image

WKB 2030: Gandingan kerajaan-swasta penting untuk manfaat rakyat

SEKTOR swasta perlu berganding bahu dengan kerajaan sebagai fasilitator untuk memperbaiki ketidakseimbangan pendapatan di negara ini.

default image

Jom bantu bayar balik pinjaman PTPTN pekerja! Pelepasan cukai antara 7 kelebihan untuk dinikmati majikan

HUBUNGAN majikan dan pekerja ibarat irama dan lagu, kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain demi kelangsungan operasi syarikat.

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.

Artikel Lain