suria

Kenyataan Politik Wang, Ronnie Liu Diberi Surat Tunjuk Sebab

KUALA LUMPUR: Anggota exco kerajaan Selangor Ronnie Liu, yang juga ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, sekali lagi 'panas' apabila diberi surat tunjuk sebab oleh Jawatankuasa Disiplin parti kerana membayangkan kewujudan politik wang dalam DAP.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplinnya Tan Kok Wai berkata surat tersebut dikeluarkan kepada Liu semalam supaya menjelaskan komennya dalam temuramah eksklusif dengan sebuah portal berita, Khamis lalu.

"Selepas laporan portal itu tersiar, kami mengeluarkan surat tunjuk sebab kepadanya untuk memberi penjelasan dalam tempoh 14 hari. Kami mahu dia menyediakan bukti untuk menyokong dakwaannya," katanya kepada Bernama di sini, Sabtu.

Liu dilaporkan oleh berita portal itu sebagai berkata beliau khuatir DAP menuju ke arah amalan politik wang kerana wujud kecenderungan meningkat ke arah itu termasuk pembelian undi berikutan kekalahannya pada pemilihan kepimpinan DAP Selangor minggu lepas.

Berikutan laporan itu, Tan berkata jawatankuasanya telah mengambil langkah proaktif dengan memulakan siasatan dan mengeluarkan surat tunjuk sebab kepadanya supaya membuktikan dakwaannya itu.

"Setakat ini, kami tidak menerima sebarang aduan atau laporan mengenai politik wang semasa pemilihan DAP Selangor. Anda tahu, kami tidak bertoleransi sebarang bentuk rasuah dan akan ambil tindakan tegas sekiranya ada dakwaan seperti itu," katanya.

Sementara itu, Liu, ketika dihubungi, mengesahkan bahawa beliau menerima surat itu dan akan menjawabnya dalam masa 14 hari.

"Saya akan memperjelaskan secara terperinci dengan apa yang saya kata dalam temuramah itu." katanya.

Ini bukan kali pertama Liu diberi surat tunjuk sebab oleh Jawatankuasa Disiplin selepas menerima surat sama pada Ogos lepas.

Ketika itu atas dakwaan bekas pembantunya Tee Boon Hock telah menyalahgunakan surat sokongan exco itu untuk memujuk pihak berkuasa tempatan memberikan kontrak kepada sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengan anaknya.

Susulan itu, Tee, ketika itu Ahli Majlis perbandaran Klang (MPK), dipecat dari DAP selepas mesyuarat jawatankuasa disiplin itu, manakala Liu diberi amaran keras. - BERNAMA

Artikel Lain