suria

Input Orang Asli Perlu Dalam Meminda Akta Orang Asli

KUALA LUMPUR: Majlis Peguam mahu kerajaan mengambil kira pandangan masyarakat Orang Asli dalam cadangan meminda Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) sebelum meluluskan rang undang-undang itu.

Presidennya Ragunath Kesavan berkata kerajaan seharusnya mempelawa Orang Asli untuk perbincangan terbuka dalam forum bagi berkongsi pandangan mereka terhadap pindaan akta yang memperuntukkan pembentukan Tanah Simpanan Orang Asli.

"Berunding sahaja dengan mereka (Orang Asli) mengenai pindaan dan tanya pandangan dengan apa yang mereka mahu dan juga berikan salinan pindaan kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Bengkel Jawatankuasa Mengenai Hak Orang Asli (COAR) behubung "Hak Tanah Pribumi-Isu-Isu, Tuntutan dan Undang-Undang', anjuran majlis itu, di sini Sabtu.

Ragunath berkata hak Orang Asli tidak diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan kerana tidak menyentuh mengenai masyarakat itu.

Sementara itu, timbalan pengerusi COAR, Steven Thiru, bekata hanya satu peruntukan khusus yang menyentuh Orang Asli di bawah Artikel 8(5)(c) dalam Perlembagaan Persekutuan.

Peruntukan itu hanya membenarkan kerajaan meluluskan undang-undang memihak Orang Asli, katanya.

Katanya mahkamah hanya menggunakan peruntukan itu baru-baru ini dalam kes bersejarah , Sagong Tasi Melawan Kerajaan Selangor, yang mengiktiraf hak Orang Asli kepada tanah.

Steven berkata sebanyak sembilan kes Orang Asli masih dalam perbicaraan di mahkamah.

Pengerusi COAR, Datuk S. Ambiga, berkata objektif bengkel itu adalah untuk menjana kesedaran di kalangan Orang Asli, peguam dan orang awam mengenai hak masyarakat itu.

Seramai 80 peserta terdiri daripada peguam, pelajar dan wakil Orang Asli, menghadiri bengkel itu.- BERNAMA

Artikel Lain