suria

Tun Mahathir Dilantik Sebagai Penaung MTEX

LANGKAWI: Tun Dr Mahathir Mohamad telah dilantik sebagai penaung Ekspo Pelancongan Malaysia (MTEX) untuk tempoh tiga tahun bermula tahun depan.

Pengerusi Bersama MTEX Pishol Ishak berkata bekas Perdana Menteri itu telah menyatakan persetujuan, dan pembabitan Dr Mahathir dijangka menyemarakkan lagi ekspo yang bertujuan memajukan industri pelancongan negara, khususnya di Langkawi.

"Kita menyanjung tinggi persetujuan Tun Mahatir menerima pelantikan itu," katanya kepada Bernama, di sini Jumaat.

MTEX 2011 akan diadakan selama lima hari bermula 23 Mei depan di Dewan Pameran Antarabangsa Mahsuri Langkawi di Padang Matsirat di sini.

Pishol yang juga pengerusi Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Kedah berkata antara 200 hingga 250 gerai akan dibuka pada pameran itu.

"Ini adalah julung kali Langkawi diberi penghormatan menganjurkan MTEX, selepas Matta pernah dua kali mengadakannya, yang pertama di Melaka pada April 2007 dan Kuala Lumpur pada Mei 2008 yang mendapat kejayaan membanggakan," katanya.

Langkawi telah dipilih oleh Matta untuk menjadi tuan rumah MTEX bagi tempoh tiga tahun berturut-turut mulai tahun depan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain