suria

Seimbang Dalam Laksanakan Akta Persaingan Jadi Cabaran

KUALA LUMPUR: Cabaran utama dalam melaksanakan Akta Persaingan terletak di antara mencapai objektif-objektif sosial negara dan membenarkan persaingan sihat untuk berkembang dalam pasaran domestik, demikian menurut Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN).

Ini melibatkan usaha menangani dasar subsidi dan perlindungan sosial serta operasi GLC kerana mereka memberi kesan kepada persaingan, kata MPEN dalam laporan Model Baru Ekonomi Untuk Malaysia-Bahagian Akhir: Langkah dasar Strategik, yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat.

Akta Persaingan Malaysia 2010 yang baru diluluskan telah diiktiraf setaraf dengan undang-undang serupa di negara-negara lain.

"Bagaimanapun, Suruhanjaya Persaingan kini bertanggungjawab kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang boleh mengkompromikan kebebasannya kerana Kementerian diberi mandat untuk menggalakkan sector-sektor tertentu manakala Suruhanjaya diharap bertindak adil," kata MPEN.

MPEN berkata pelaksanaan berkesan Akta ini boleh terbantut sekiranya Suruhanjaya Persaingan dilihat sebagai berat sebelah yang mencela kredibiliti di mata pelabur yang berpotensi.

MPEN menyatakan kerajaan dapat memberi isyarat mengenai komitmen kukuhnya terhadap persaingan dengan melantik seorang Pengerusi Suruhanjaya yang berkredibiliti dan bebas, sebaik-baiknya seorang wakil kanan sektor swasta yang mempunyai pengalaman operasi yang luas dalam pasaran luar negara yang berdaya saing dan liberal.

Sejajar dengan Akta Persaingan, kerajaan boleh memberi arahan am berkaitan dengan fungsi dan bidang kuasa Suruhanjaya, tetapi tidak sepatutnya mengganggu apa jua keputusan yang dibuat oleh Suruhanjaya, cadang MPEN.

Antara cadangan lain adalah Suruhanjaya seharusnya mendukung galakan persaingan bagi membangunkan budaya persaingan dan perniagaan perlu memahami sepenuhnya matlamat undang-undang persaingan.

Laporan itu juga mencadangkan Suruhanjaya bekerja dengan lain-lain pengawalselia bagi menyemak semula dan mempermudahkan polisi, peraturan dan amalan sedia ada selain mempermudahkan syarat-syarat masuk, khususnya syarat-syarat perlesenan yang dikenakan oleh pengubal undang-undang sektor.

MPEN juga berkata Suruhanjaya harus mengehadkan pengecualian yang dibenarkan agar tidak mengkompromi keberkesanan Akta Persaingan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain