suria

Polis Tunggu Laporan Bedah Siasat Kematian Kanak-Kanak Dua Tahun

IPOH: Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata kes kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun di Hospital Changkat Melintang awal pagi Jumaat masih belum diketahui puncanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak dapat mengeluarkan sebarang kenyataan selagi keputusan bedah siasat belum dikeluarkan secara rasmi oleh pihak hospital.

Mangsa, Nur Amira Natasya Abdullah dimasukan ke hospital petang Khamis oleh pengasuhnya dan memaklumkan kepada pihak hospital bahawa kanak-kanak itu deman panas.

Bagaimanapun mangsa meninggal dunia pada 12.30 tengah malam dan mayatnya di hantar ke Hospital Raja Permaisuri pagi Jumaat untuk bedah siasat, kata Dzuraidi.

Katanya satu laporan berhubung kematian kanak-kanak itu telah dibuat oleh bapa mangsa selepas melihat ada kesan pendarahan di kepala mangsa.

Polis bagaimanapun enggan mengulas sama ada kematian itu berunsurkan penderaan kerana mahu menunggu laporan bedah siasat yang akan dibuat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh pada Sabtu.

Dzuraidi berkata, pengasuh tersebut mendakwa kanak-kanak itu pernah jatuh beberapa kali daripada basikal sebelum ini. "Bagaimanapun kita tidak boleh melibatkan kes ini sebagai kes dera selagi maklumat terperinci belum di perolehi," katanya.

Sejak dua bulan lalu, kanak-kanak yang dikatakan hiper aktif itu diletakkan dalam jagaan pengasuh berkenaan pada hari Isnin hingga Jumaat dan diambil pula oleh neneknya, Rohani Abd Hamid, 54, pada Sabtu dan Ahad.

Rohani yang bekerja sebagai operator kilang di Ipoh berkata, beliau melihat beberapa kesan calar di badan dan kesan lebam di bahagian kening Nur Amira Natasya tiga hari sebelum kematian cucunya itu.

"Saya terkilan kerana pengasuhnya terus menghantar cucu saya ke hospital tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada saya," katanya.

Rohani ditemui selepas menerima sumbangan yang disampaikan oleh Pembantu Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Blanja, Khairul Saleh Baharudin di rumahnya di Kampung Nyior, Parit hari ini.

Ibu mangsa enggan mengulas mengenai kejadian itu kerana terlalu sedih. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain